Hiburan
"2019 Adalah Tahun Antara Hidup & Mati .." - Syafie Naswip
Aktor Syafie Naswip mendedahkan 2019 adalah tahun paling getir yang perlu dihadapinya.
Jelas Syafie dia terpaksa menahan kata hinaan dan herdikan daripada orang ramai selama lima bulan.
"2019 adalah tahun antara hidup dan mati. Dihina dan diherdik oleh khalayak merupakan perkara yang aku perlu lalu setiap hari lima bulan.
"Itu bukan perkara mudah. Setiap langkah dan senyuman aku seperti tiada nilai di mata manusia.
"Mulut dan kata-kata manusia boleh buatkan hidup manusia lain merana," tulisnya di Intastagram (IG) miliknya.
Syafie, 28, bagaimanapun akui tidak terkesan dengan kata-kata kesat yang dilemparkan kepadanya kerana dibekalkan dengan semangat yang tinggi.
"Tetapi mereka silap. Mereka boleh berkata apa sahaja tentang aku dan keluarga.
"Tetapi semangat yang Tuhan pinjamkan pada aku lebih kuat dari itu.
"Aku akan buktikan aku boleh berjaya dengan berbekalkan kata-kata kesat kalian.
"Terima kasih menghadiahkan aku sebuah doa jahanam untuk menjadi manusia yang lebih baik dalam hidup. Amin. Welcome 2020! Bismillah," tulisnya lagi.
Sebelum ini, Syafie dan pelakon Aishah Azman bertunang pada satu majlis yang diadakan pada 7 April 2019 bertempat di Forest Valley Hall, Cheras.
Namun, kedua-dua pasangan itu mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangan pada 21 Julai tahun yang sama.
Tidak sampai seminggu tali pertunangan putus, Aishah membuat laporan polis mengatakan dirinya dibelasah (bekas) tunangnya kerana berang apabila dia memintanya memutuskan hubungan songsang dengan kenalannya.
Namun selepas beberapa bulan, pihak pendakwa raya membuat keputusan kes adalah Tiada Tindakan Lanjut (TTL) kerana tiada keterangan yang mencukupi.