22 Tahun Dalam Industri, Fahrin Ahmad Tak Kisah Belum Terima Anugerah - “Syukur Masih Relevan…”
Pelakon dan pengacara Fahrin Ahmad mengakui tidak pernah rasa terkilan meskipun belum pernah menerima sebarang anugerah mahupun pengiktirafan atas bakat lakonannya selepas lebih 2 dekad berada dalam industri hiburan.
Sebaliknya Fahrin, 45, menganggap rezeki masih belum berpihak pada dirinya.
"Saya antara pelakon yang tidak pernah menang anugerah pun, paling tinggi Top 5. Tetapi pada saya itu tidak menjadi masalah.
"Saya berkarya bukanlah untuk mengejar anugerah dan saya tak terkilan pun. Itu semua bergantung kepada rezeki masing-masing," katanya kepada Gempak.
Mengaggumi kejayaan aktres Susan Lankester meraih trofi Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) pada usia 62 tahun, Fahrin turut percaya dengan ketentuan masa Tuhan dalam memberikan sesuatu rezeki.
"Kita lihat kejayaan Susan di FFM33 baru-baru ini, di usia 62 tahun baru dia dapat merasa genggam anugerah. Jadi biar masa menentukan.
"Sehebat mana pun kita membawa watak tetapi ia perlu dirangkumkan dengan naskhah serta produksi yang bagus untuk melayakkan kita bertanding dalam sesuatu anugerah,” ujarnya lagi.
Syukur masih relevan
Sementara itu, pelakon drama Tikam itu turut menganggap anugerah bukanlah segalanya, namun dia bersyukur dirinya mash dianggap relevan dan rezeki tidak putus sehingga kini.
"Tak bermakna kita tidak bagus kalau tak menang anugerah. Yang penting jujur dengan diri sendiri dan berikan yang terbaik.
"Apa yang membuatkan saya puas selepas 22 tahun dalam industri, saya masih dapat tawaran dan orang mash mahu melihat lakonan saya," kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Fahrin membintangi telefilem terbaharu berjudul Larian Terakhir yang bakal bersiaran pada 15 Disember depan.
Selain Fahrin, telemovie berkenaan turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat lain termasuklah Fattah Amin, Amyra Rosli, Sherie Merlis dan Ameerul Asyraf.
Larian Terakhir bakal menemui penonton menerusi saluran 120 Degup di Unifi TV.