Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
BERITA

2,361 Hidupan Liar Mati Dilanggar Atas Jalan Raya, Di Pahang Paling Tinggi

Gempak 13/05/2025 | 09:55 MYT
Sebanyak 2,361 hidupan liar dilaporkan mati dilanggar kenderaan di atas jalan di seluruh negara sejak 2020 hingga kini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dalam tempoh itu Pahang menjadi negeri tertinggi merekodkan jumlah kematian hidupan liar akibat kemalangan iaitu 765 ekor, diikuti Perak (478), Kelantan (224), Terengganu (201), dan Negeri Sembilan (187).
“Kalau kita lihat spesies pula, seperti gajah mencatatkan lapan kematian iaitu seekor pada 2020, masing-masing dua ekor pada 2021 dan 2024, dan setakat tahun ini kita telah merekodkan tiga ekor (termasuk kematian anak gajah yang tular pada Ahad).
“Harimau Malaya pun kita tengok ada sedikit peningkatan dengan 2020 hingga 2022 tiada kematian direkodkan tetapi pada 2023 merekodkan satu kematian manakala 2024 sebanyak tiga ekor dan setakat tahun ini ada seekor Harimau Malaya terlibat dengan kematian di atas jalan,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Pada Ahad, tular di media sosial gambar dan video seekor anak gajah yang dilanggar terperosok di bawah sebuah lori kontena dan seekor gajah dewasa dipercayai ibunya sedang cuba mengalihkan lori tersebut bagi menyelamatkan anaknya.
Kejadian yang meruntun hati warga maya itu berlaku awal pagi kelmarin di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Perak.
Nik Nazmi yang dipetik Bernama berkata, kerajaan telah dan sedang mengambil pelbagai inisiatif bagi membendung masalah kematian hidupan liar termasuk gajah di atas jalan, antaranya menambah peruntukan kepada RM250 juta pada tahun ini bagi membolehkan kerajaan negeri terlibat meningkatkan kawasan hutan simpan.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga sedang berusaha mewujudkan lebih banyak santuari gajah termasuk di Johor, Pahang, Perak dan Terengganu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tiga kes anak gajah yang mati tahun ini masing-masing melibatkan dua kes di Perak dan satu di Johor.
Menurutnya, daripada jumlah itu, dua ekor anak gajah jantan mati akibat dilanggar kenderaan, manakala seekor lagi anak gajah betina terjatuh longkang.
“Pembukaan habitat hidupan liar bagi tujuan pembangunan menyebabkan habitat asal terpisah antara punca utama binatang liar menjadi mangsa nahas jalan raya.
“Hidupan liar yang melintas jalan atau lebuh raya bergerak untuk mencari sumber makanan, pasangan bagi terus membiak dan mencari habitat yang lebih sesuai, namun akibat kecuaian pemandu kenderaan telah mengakibatkan kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata, perkembangan guna tanah atas pelbagai tujuan telah menyebabkan berlakunya kehilangan, fragmen habitat hidupan liar dan seterusnya memberi kesan kepada berlakunya pemisahan habitat.
“Inisiatif Perhilitan untuk tangani isu itu adalah dengan pemasangan papan tanda lintasan hidupan liar, memasang lampu solar amber light dan pemindahan hidupan liar ke habitat yang lebih jauh daripada manusia.
“Perhilitan juga mempertingkat rondaan dan penguatkuasaan bagi menangani isu pemburuan haram dan pencerobohan hutan habitat asal gajah dan harimau belang khususnya,” kata beliau.
Selain itu, Abdul Kadir berkata, pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan pihak berwajib bagi memastikan pagar sempadan sepanjang lebuh raya diselenggara dengan baik dan pemasangan pagar berduri di kawasan titik panas.
Sumber: Sinar Harian
#Pahang #Gajah #Haiwan #PERHILITAN #Langgar #Jalan #Liar