Laman Utama
24 Ahli Keluarga Zizan Razak Positif Covid-19 –“Ini Bukan Main-Main, Dua Ahli Keluarga Saya Meninggal Dunia…”
Pelawak dan pengacara Zizan Razak menasihati orang ramai agar tidak memandang ringan pandemik Covid-19.
Zizan berkata, dia cukup terkesan apabila 24 ahli keluarga yang terdiri daripada ibu saudara, sepupu dan sanak saudara dijangkiti Covid-19 serentak.
Lebih menyedihkan, katanya, Covid-19 juga mengorbankan dua ahli keluarga yang berada di Dungun, Terengganu.
"COVID-19 bukan perkara main-main. Menambahkan kerisauan apabila berdepan pengalaman ibu saudara bersama empat sepupu yang rapat disahkan positif.
"Lebih menakutkan, bapa mentua ibu saudara dan pembantu rumah menjadi korban dalam sekelip mata selepas dijangkiti,” katanya.
Tambah Zizan, perkara tersebut menyebabkan dia trauma dan ngeri untuk keluar dari rumah.
"Saya dan ibu, Anai Ibrahim tinggal di Kuala Lumpur jadi ngeri mahu keluar rumah. Pelbagai kisah, pengalaman dan teladan ahli keluarga yang positif menimbulkan banyak kesedaran, setiap langkah perlu waspada dan jaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan jangkitan.
"Jujurnya, saya tiada keberanian nak keluar bekerja dengan jumlah harian positif COVID-19 melebihi 20,000.
"Saya boleh mohon surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas dasar kerja, namun, saya harus memikirkan nyawa dan keselamatan ibu yang tinggal sebumbung dengan saya.
"Lagi pun, kerisauan saya lebih tinggi dengan pengalaman saudara mara dijangkiti COVID-19. Ia juga menyebabkan hati saya tidak seronok bekerja di luar.
"Kita dapat lihat seorang demi seorang menjadi korban pandemik, termasuklah rakan baik, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang menghembuskan nafas terakhir pada Isnin lalu," katanya kepada BH Online.