Selama 24 tahun beroperasi akhirnya Istana Budaya bakal ditutup selama 36 bulan bagi pelaksanaan kerja penyelenggaraan bumbung yang dijadualkan bermula Jun depan.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar berkata, ini kali pertama bahagian itu dibetulkan melalui kerja penyelenggaraan sejak gelanggang gah tersebut dibuka pada 1999.

“Ikut anggaran Kementerian Kerja Raya yang dipertanggungjawabkan mengendalikan kerja ini, manakala tempoh masa diperlukan adalah sekitar tiga tahun iaitu 36 bulan.

“Perkara ini harus dilaksanakan selepas hampir 24 tahun beroperasi belum pernah lagi kerja penyelenggaraan secara menyeluruh dilakukan pada bahagian penting itu.

“Makluman mengenai perincian penutupan serta perkara lain termasuk perkhidmatan sokongan yang tetap diteruskan boleh diperoleh menerusi laman web rasmi Istana Budaya.

“Mungkin tempohnya agak panjang tetapi kerja ini memang kena dibuat bagi penambahbaikan jangka masa panjang selain faktor keselamatan,” katanya kepada Gempak.

Zubaidah ditemui ketika majlis pelancaran Kempen Gerak Istana Budaya di Sunset Glasshaus Borambak Marina Putrajaya baru-baru ini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd. Yusri Mohd. Yusoff.

Kempen yang bermatlamat menyemarakkan cinta masyarakat terhadap kesenian negara menerusi persembahan jelajah akan bermula di Shah Alam pada pertengahan tahun ini.

Sementara itu, Zubaidah berkata, jelajah itu merupakan persembahan yang membawa penggiat seni kepada orang ramai untuk merasai pengalaman seperti menonton di Istana Budaya.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.