Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

25 Jam Tak Makan, Minum & Tidur- Wanita Rusia Dedah Taktik Ceroboh Menara Merdeka 118

Syafiqah Jalal
06/01/2023 01:44 MYT
Warga Rusia, Angela Nikolau mendedahkan taktik licik dia menceroboh Menara Merdeka 118 sekali gus menyempurnakan misinya memanjat puncak menara seperti tular baru-baru ini.

Menerusi ciapan di Twitternya, Angela turut memuat naik gambar ketika 'menjayakan' misinya.

Menurutnya, kedudukan Menara Merdeka 118 yang terletak di tengah bandar mendorongnya untuk menawan mercu tanda itu.

"Saya jatuh cinta dengan Menara Merdeka 118 sebaik saja melihatnya. Saya berasa seperti berhubung secara rohani dengannya.

"Bangunan itu sangat megah di tengah bandar yang menakjubkan dan saya perlu terokai serta berkongsi pemandangan dengan orang ramai," ciapnya

Kongsi Angela, dia lakukan persediaan rapi sebelum memulakan misi berkenaan.

"Saya sewa sebuah pangsapuri dengan pemandangan menara itu untuk jalankan pengawasan dan pemerhatian terhadap bangunan itu sebelum memasukinya.

"Saya habiskan beberapa minggu untuk mengetahui butiran penting yang perlu saya ketahui sebelum pergi ke sana," ciapnya.

Bagi melindungi identitinya, Angela turut memakai tudung, cermin mata dan memakai seragam pekerja bangunan.

"Saya berlari ke 32 tingkat pertama dan terlalu panas di situ.

"Keadaan itu memaksa saya baring atas lantai konkrit tanpa berpakaian bagi menyejukkan badan sedikit dan minum semua air yang ada," ciapnya.

Dia berkata, laluannya untuk sampai ke puncak tidak mudah kerana berdepan detik mencemaskan apabila hampir ditangkap ketika sedang berehat.

"Saya jumpa tempat berlindung dalam kotak konkrit kecil tetapi tidak dapat meregangkan kaki dan perlu habiskan masa lebih 20 jam di situ.

"Ini saya (merujuk gambar) 25 jam kemudian, saya tiada makanan, minuman serta tidak tidur. Saya tak dapat regangkan kaki dan seluruh badan sakit.

"Nak menangis tak boleh kerana bimbang pekerja bangunan dengar tangisan saya," ciapnya.

Angela meneruskan misi tiga jam kemudian walaupun berdepan kesukaran.

"Jika saya tidak mula bergerak, saya akan jadi terlalu lemah untuk menyelesaikan misi ini.

"Saya perlu kuatkan diri dan lakukan sesuatu. Mujurlah pekerja sedang berehat jadi saya dapat keluar dan berlari ke puncak menara," ciapnya.

Katanya, menara berkenaan setinggi 53 tingkat dan dia memanjat bangunan sambil membawa beg galas seberat 15 kilogram (kg)

"Saya tak pasti saya akan panjat jika saya tahu ketinggian menara ini. Selepas mendaki, saya tidak dapat rasakan tangan saya serta tidak boleh mengangkatnya.

"Semangat saya semakin meningkat bila saya nampak pemandangan dari atas. Kini musim hujan jadi saya menjangkakan keadaan awan kelabu, tetapi sebaliknya saya lihat sinaran matahari dan keindahan pemandangan luar biasa," ciapnya.

Menurutnya, kejayaan sampai ke puncak membuatkan dia berasa kembali bertenaga dan apa yang dilakukannya berbaloi.

"Pendakian ini adalah yang paling sukar pernah saya lakukan.

"Tidak pasti saya boleh lakukan lagi namun keindahan yang saya lihat dan kongsikan amat menakjubkan.

"Saya akan memuat naik token tidak sepiawai (NFT) khusus untuk Menara Merdeka 118 esok (hari ini).

"Saya mahu orang lain meraih pencapaian seperti ini," ujarnya.

Pada akhir ciapan, Angela memberitahu yang dia menghormati undang-undang di setiap negara walaupun apa yang dilakukannya ialah menceroboh.

"Saya sentiasa pastikan tidak akan merosakkan apa-apa biarpun ada segelintir pendaki puncak menara lakukannya.

"Impian saya adalah mencipta kenangan dengan berkongsi pemandangan dari (puncak) menara tertinggi dunia," katanya.

Terdahulu, tular video di laman sosial menunjukkan Angle dan seorang lelaki di puncak Menara Merdeka 118.

Susulan itu, polis menerima satu laporan daripada pihak pengurusan Menara Merdeka 118 pada 29 Disember lalu untuk tindakan lanjut mengenai kes pencerobohan pasangan terbabit.

Sumber: Metro

#wanita #Rusia #Merdeka #Ceroboh #Menara #Taktik #118'
;