Berita
25 Mangsa Tembakan Pengganas di Christchuch Masih Dirawat di Hospital
25 daripada 48 mangsa yang cedera dalam serangan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu masih dirawat di Hospital Christchurch, lapor Astro Awani.
Serangan berkenaan turut mengorbankan 50 lagi umat Islam semasa kesemua yang terlibat hendak menunaikan solat Jumaat di dua buah masjid iaitu Masjid Al Noor dan Masjid Linwood.
Ketua Eksekutif Bahagian Kesihatan Canterbury, David Meates berkata, empat mangsa masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi.
Bagi mangsa yang dibenarkan keluar dari hospital baru-baru ini, mereka masih lagi menerima rawatan yang disediakan hospital berkenaan.
Dalam pada itu, seorang kanak-kanak perempuan yang turut cedera dalam insiden berdarah itu masih kritikal di Hospital Starship di Auckland.
Manakala bapanya yang juga cedera, namun stabil, dirawat di hospital berhampiran, Hospital Auckland City.
Menurut Meates kepada media tempatan, keadaan di Hospital Christchurch masih lagi sibuk terutamanya di bahagian kecemasan.
“Mana-mana mangsa yang ingin ke hospital bagi mendapatkan rawatan, saya minta mereka hubungi kami terlebih dahulu agar kakitangan yang bertugas dapat memberikan rawatan yang terbaik.
“Namun apa yang paling penting, mereka perlu menjaga tahap kesihatan masing-masing berikutan kesan trauma yang dialami,” beliau dipetik berkata.
Sumber: Agensi / Astro Awani