Pengacara dan Penyampai radio Era Radin mendedahkan dia bukanlah mengikat tali pertunangan ataupun berkahwin dengan teman wanitanya, Azlina Idris pada tarikh 26 November ini.

Sebaliknya menurut Radin atau nama sebenarnya Radin Amir Affendy, 30, 26 November ini merupakan tarikh dia memulakan perniagaan perkhidmatan penghantaran barangan bersama J&T Express.

“Sebenarnya saya saja post tarikh tu di laman sosial tapi tak sangka ramai yang bertanyakan perkara itu.

A post shared by RAA (@radin_era)


“Saya akan membuka perkhidmatan penghantaran barangan J&T Express bersama seorang rakan di Denai Alam, Shah Alam.

“Permulaannya saya rancang untuk menceburkan diri dalam perniagaan makanan tetapi apabila memikirkan permintaan terhadap pembelian online cukup tinggi, jadi kami sepakat untuk membuka courier service,” ujar Radin ketika dihubungi Gempak.

Tambah Radin lagi, melihat pada situasi pandemik yang melanda, dia bersyukur apabila dapat berkongsi rezeki dengan orang ramai.

“Bila saya buka iklan jawatan kosong, ada yang berkelulusan sarjana memohon pekerjaan di kedai saya. Bayangkan situasi sekarang membuatkan orang tak kisah dah tentang tangga gaji asalkan ada.

“Pada masa yang sama, saya gembira dapat tawarkan peluang pekerjaaan kepada mereka yang memerlukan walaupun ia tidak seberapa,” jelasnya.

Melihat ruangan laman sosial dan mesejnya dipenuhi ucapan tahniah, Radin turut berasa bersyukur apabila ramai yang mengambil berat dan mendoakan kebahagiaan dirinya.

“Ramai kawan yang dah ucap tahniah, ingatkan saya berkahwin. Pada masa yang sama saya rasa terharu, restu kalian semua sentiasa bersama saya,” ujarnya lagi.

Pada tengah malam tadi, Radin mencuri perhatian wargamaya apabila memuat naik satu hantaran tertera tarikh 26 November.

Lebih menimbulkan tanda tanya apabila dia menutup ruangan komen pada hantaran tersebut.