Berita
"26 Jam Tahan Sakit Contraction" - Dapat Baby Boy, Fara Hezel Jadi Ibu Pada Usia 24 Tahun
Penyanyi Fara Hezel kini bergelar seorang ibu selepas melahirkan bayi sulungnya pada 18 Oktober lalu.
Fara atau nama sebenarnya, Nurfaraazira Yusri, 24, berkata bayi lelaki seberat 3.57 kilogram itu selamat dilahirkan secara normal di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada pukul 6.05 pagi.
"Saya tahan sakit contraction lama juga. Mengikut perkiraaan saya kira-kira, ada sekitar 26 jam tahan sakit.
"Masa dah masuk dewan bersalin tu baru suami dapat teman. Alhamdulillah bayi semua sihat, cuma ada kuning (jaundice) sikit," katanya ketika dihubungi Astro Gempak.
Berkongsi pengalamannya bergelar ibu pada usia muda, kata Fara, dia mengakui rutinnya sudah jauh berbeza.
"Saya pernah jaga bayi, jaga adik. Cuma itulah, kalau dengan adik jaga menyambil sahaja tolong mak. Ini memang kena 24 jam jaga sebab nak menyusukan.
"Dulu bolehlah juga nak layan movie, sekarang ini memang kena layan anak sahajalah," katanya yang kini menjani tempoh berpantang di rumah mentuanya di Terengganu.
Menurutnya lagi, dia juga sudah mempunyai nama buat bayi tersebut, namun memilih untuk merahsiakan terlebih dulu sebelum didedahkan kepada umum.
Terdahulu, menerusi satu hantaran di Instagram, Farah berkongsi sekeping foto bersama bayinya.
Fara yang juga merupakan kakak kepada penyanyi Aiman Tino itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Tengku Mohammad Kamal Hishamuddin pada 20 Disember 2019.
Must-Watch Video