Jika anda menerima panggilan telefon yang tidak dikenali, mungkin satu daripadanya berpunca daripada Facebook.

Menerusi laporan dikeluarkan The Forbes, sebanyak 267 juta data pengguna merangkumi nama dan nombor telefon telah tersebar dan dikongsikan kepada pihak ketiga.

Difahamkan, kesemua data itu didedahkan oleh penggodam menerusi satu format data tidak dilindungi sebelum kemudiannya dikongsi kepada pihak tertentu.

Lebih serius lagi, terdapat pengguna melaporkan telah menerima panggilan daripada pihak tidak dikenali yang menyimpan data nama dan nombor telefon mereka.

Isu tersebut sekali gus mendedahkan pengguna kepada kegiatan 'scammer' yang berbahaya.

Apapun, anda dinasihatkan supaya berhati-hati sekiranya menerima panggilan meragukan.

Terdahulu, Facebook terpalit dengan skandal Cambridge Analytica apabila syarikat itu menggunakan kelemahan keselamatan laman sosial itu untuk mengakses jutaan maklumat peribadi pengguna.

Bermula dengan isu Cambridge Analytica, Facebook sejak pada itu terus dilanda kontroversi dengan isu data pengguna meskipun CEO Mark Zuckerberg menafikannya.