Laman Utama

28 Tahun Berkahwin, Madu Miera Liyana Tak Setuju Suami Failkan Cerai

gempak
Gempak
03/05/2023
06:05 MYT
Sponsor Banner
28 Tahun Berkahwin, Madu Miera Liyana Tak Setuju Suami Failkan Cerai
Madu pelakon Miera Liyana, Adibah Abdul Mutalib, 50, tetap dengan pendirian mempertahankan rumah tangga dibina sejak 28 tahun lalu bersama suaminya, Rosland Othman.
Adibah yang ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosiding Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) berkata, dia melantik abang sulungnya, Azman Abdul Mutalib, 57, bagi proses berkenaan.
"Abang sulung mewakili saya untuk JKP, hari ini. Saya meneruskan proses ini sebab saya bukan di pihak yang salah, jadi saya tak bersetuju untuk bercerai.
"Saya akui Rosland terkejut kami meminta proses ini, malah untuk berbincang dengan baik pun pihak sana tidak terima.
"Saya sudah buat macam-macam dan berusaha segala yang saya mampu. Jujurnya, siapa yang tidak sedih sebab kami sudah berkahwin selama 28 tahun.
"Jadi tengoklah apa yang berlaku selepas JKP ini. Saya hanya boleh cuba menyelamatkan apa yang saya mampu.
"Bagaimanapun, saya terpaksa akur dengan apa diputuskan jabatan agama ini sebab kita tahu pihak lelaki yang ada kuasa, saya hanya boleh buat semampu boleh," katanya kepada BH Online.
Adibah turut ditemani peguam syarie mewakili Adibah, Mohd Junid Ramli berkata, dia dan Rosland yang juga suami pelakon Miera Leyana sudah dua tahun tidak menyambut Aidilfitri bersama.
"Kali terakhir Rosland balik rumah pada September 2021, jadi saya tidak menafikan sedih tidak beraya bersama sebab ia memang kebiasaan kami meraikan Syawal bersama.
"Tak pernah kami tak meraikan Aidilfitri bersama. Dan ini adalah tahun kedua kami tidak bersama kerana Rosland masih pulang pada 2021," katanya.
Tambah Adibah, suaminya bertindak mengambil anak keempat, Nur Anisa tanpa pengetahuannya dan kini tinggal bersama Rosland, manakala anaknya yang lain masih menetap dengannya.
"Dia mengambil anak keempat dari sekolah pada Februari lalu dan sejak itu, mereka tinggal bersama.
"Rosland masih berstatus suami, jadi saya tiada masalah untuknya menjaga anak. Cuma, saya harap dia akan terus jalankan tanggungjawab," katanya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengarahkan Rosland dan isteri pertama, Adibah merujuk JKP bagi menangani krisis rumah tangga mereka.
Perkara itu diputuskan Penolong Pendaftar, Seri Ariful Asyikin Mohamad Yusof untuk Rosland dan Adibah melantik wakil masing-masing dalam JKP.
JKP membabitkan anggota keluarga yang rapat dengan pasangan yang dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Sebelum ini, permohonan cerai difailkan Rosland pada 7 April lalu mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Media ada melaporkan, Adibah mahu mempertahankan rumah tangga bersama Rosland biarpun perkahwinan didakwa dilanda badai sejak dua tahun lalu, apabila suaminya berkahwin dengan Miera pada Julai 2020.
Pada 31 Januari lalu, Rosland yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Consolidated Industries Bhd milik syarikat Serba Dinamik, gagal menghadiri prosiding kes nusyuz yang difailkan sendiri di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024