Laman Utama

“29 Ramadan Penentu 1 Syawal” - Mufti Wilayah

gempak
Gempak
15/04/2023
04:46 MYT
Sponsor Banner
“29 Ramadan Penentu 1 Syawal” - Mufti Wilayah
Penentuan tarikh sambutan Hari Raya di negara ini berdasarkan kriteria apabila kenampakan anak bulan berada pada ketinggian tiga darjah dan 6.4 lengkungan yang dicerap pada 29 Ramadan setiap tahun.
Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah berkata, di Malaysia penentuan tarikh Hari Raya adalah melalui kaedah gabungan antara ilmu Hisab (kiraan) dan Rukyah (anak bulan) atau lebih dikenali Imkanur-Rukyah iaitu menepati kadar tinggi hilal dan jarak lengkung antara hilal (sabit pertama selepas ijtima') dan matahari.
"Penetapan kita adalah berdasarkan kepada hukum syarak di mana pada 29 Ramadan akan dibuat cerapan anak bulan untuk dilihat sama ada hari raya pada keesokan harinya ataupun kalau anak bulan tidak kelihatan maka akan beraya pada lusa.
"Jadi itu yang kita amalkan selama berpuluh tahun dan sepatutnya tidak timbul isu tentang perkara ini, yang menjadi isu apabila ada pihak membawa pandangan negara lain yang berasaskan kepada pengiraan negara lain dan yang baru ini mengatakan bahawa raya pada hari Jumaat," katanya seperti dilapor Bernama.
Luqman berkata, melalui pemerhatian yang dijalankan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutan bersama beberapa agensi yang terlibat menunjukkan bahawa saiz anak bulan yang dijangka adalah dua darjah dan memustahilkan untuk hari raya jatuh pada hari Jumaat.
"Berdasarkan kepada pengiraan kita pada 29 Ramadan ini pada hari Khamis ketinggian anak bulan tidak mencapai kriteria itu lagi iaitu berada pada ketinggian dua darjah, kebiasaanya pada 29 belum nampak lagi dan dari segi pengiraan adalah tipis dan tak mungkin akan nampak anak bulan.
"Bagaimanapun kita bergantung juga pada kuasa Allah, sebab itu pada pengiraan semasa kita katakan raya adalah pada hari raya Sabtu tetapi pengesahan yang tepat bergantung kepada kenampakkan anak bulan pada 29 Ramadan, kita hanya jangkakan hari raya mengikut keadaan semasa berdasarkan Imkanur-Rukyah," jelasnya.
Luqman berkata jangkaan yang berada pada takwin semasa kini berpandukan perkembangan ilmu astronomi dan pejabat mufti sememangnya sentiasa berbincang bersama bahagian astronomi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) mengenai data berkenaan.
"Apa yang berlaku pada tahun lepas adalah apabila jangkaan yang dibuat adalah lima darjah iaitu hampir dengan kriteria yang telah ditetapkan dengan ketinggian tiga darjah dan 6.4 lengkungan.
"Ketika itu juga kebolehnampakan anak bulan begitu jelas dengan keadaan cuaca yang cerah, tiada awan yang melindungi anak bulan," katanya.
Beliau berkata selain itu tarikh Hari Raya mestilah bergantung kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April ini bagi penentuan tarikh permulaan 1 Syawal.
"Maklumat daripada 29 lokasi cerap anak bulan di seluruh Malaysia akan dikumpulkan selepas itu akan dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja barulah umumkan kepada masyarakat," ujarnya. BERNAMA
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024