Berita
3 Filem Astro Shaw Ke Pawagam, Jom Pergi Tonton Guys!
Sejajar dengan pengumuman pembukaan pawagam di negara ini, Astro Shaw mengambil inisiatif membawakan filem-filem menarik yang pernah ditayangkan di kaca televisyen ke layar perak.
Sebagai tanda sokongan dalam merancakkan industri perfileman, sebanyak tiga buah filem terbitan Astro Shaw akan menemui penonton di pawagam.
Filem tersebut ialah Shif Malam Raya, Ada Apa Dengan Dosa dan Town Mall.
Kesemua filem tersebut sebelum ini ditayangkan di saluran Astro First sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.
Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, inisiatif yang dibuat itu merupakan yang pertama kali dalam sejarah apabila membawakan naskhah-naskhah hebat yang pernah ditayangkan di Astro First ke pawagam.
"Ketiga-tiga filem berbeza genre ini telah mencetus fenomena apabila berjaya mengungguli kutipan tinggi di Carta Astro First.
"Kami yakin pasti ramai yang turut ingin menikmati keseronokkan rasa seram komedi ‘Syif Malam Raya’, babak menyayat hati anak luar nikah dalam ‘Ada Apa Dengan Dosa’ dan keseraman yang diinspirasi daripada kisah benar, ‘Town Mall’ di layar besar.
"Selaras dengan itu, kami ingin beri peluang buat penonton untuk merasai perspektif dan pengalaman sinematik yang berbeza di panggung wayang. Kami mengharapkan inisiatif ini dapat merancakkan kembali industri perfileman tempatan dan sekali gus membantu menjana ekonomi negara," katanya.
Bahkan, usaha Astro Shaw itu turut mendapat sambutan baik daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
"Apabila pihak Astro mengemukakan langkah pro-aktif ini, pastinya kami menyambut dengan rasa berbesar hati untuk sama-sama merancakkan semula ekonomi filem tanah air.
"Idea dan konsep yang diperkenalkan oleh Astro ini adalah sesuatu yang baru dan bagus buat industri," kata Zakaria Abdul Hamid selaku Pengerusi Finas.
Filem pertama yang bakal menemui penonton minggu depan di pawagam ialah Shif Malam Raya pada bermula 30 Julai.
Manakala, dua filem lain yang bakal menyusul Ada Apa Dengan Dosa pada 10 September 2020 dan Town Mall (1 Oktober 2020).
Jadi, jangan lepaskan peluang anda untuk menonton tiga filem tersebut di pawagam berhampiran anda.
Apapun, pastikan korang patuh dan mengikuti segala SOP yang telah ditetapkan okay.
#1 Syif Malam Raya
Tayangan di Pawagam : 30 Julai 2020
Tayangan di Astro First : 21 Mei 2020
Sinopsis: Kisah Syif Malam Raya bermula apabila cuti raya Zaid (Atu) dan Hisyam (Sharif) tidak diluluskan dan mereka ditugaskan untuk menghantar satu mayat ke Ipoh pada malam Aidilfitri. Mereka turut menumpangkan Mira dan Yoh untuk pulang beraya ke kampung halaman mereka dengan menaiki van jenazah mereka. Kejadian aneh mula berlaku, dan kekecohan timbul apabila mereka tiba di sebuah kampung yang dihantui pocong.
#2 Ada Apa Dengan Dosa
Tayangan di Pawagam : 10 September 2020
Tayangan di Astro First : 21 Mei 2020
Sinopsis: Seorang gadis 19 tahun, Aurora yang merupakan anak luar nikah dan dibesarkan di Eropah oleh keluarga bukan Islam sejak kecil. Keadaan berubah apabila dia mendapat tahu asal usulnya. Aurora rasa tertipu dan cuba bunuh diri. Namun, kehadiran Khaliq memberi sinar baru buatnya dan mereka pergi ke Malaysia untuk mencari ibu bapa kandungnya. Sementara itu, ibu kandungnya hidup dihantui dengan dosa silam. Manakala, ayahnya pula merupakan ustaz terkenal, Ustaz Aariz yang cuba lari dari dosa lalu.
#3Town Mall
Tayangan di Pawagam : 1 Oktober 2020
Tayangan di Astro First : 25 June 2020
Sebuah projek pembinaan yang telah terbengkalai selama 10 tahun akibat gangguan halus dan kini sebuah syarikat pembinaan terkenal cuba menyambung semula kerja-kerja dengan harapan bangunan itu akan menjadi sebuah pusat beli-belah terkemuka. Pengurus projek iaitu Rusdi ditugaskan untuk memantau projek baru itu. Pada awalnya pembinaan itu berjalan dengan lancar, sehingga suatu hari kejadian sama dari 10 tahun lalu berlaku semula.
Must-Watch Video