Pelakon versatil Azhan Rani, mengakui menyarung sut peralatan perlindungan diri (PPE) bukan semudah yang disangka tetapi merimaskan.

Menurut Azhan walaupun dia hanya perlu memakai sut PPE selama tiga jam sahaja setiap hari ketika menjalani penggambaran Filem Televisyen (FTV) Frontliner, itu sudah cukup mencabar dirinya.

“Merimaskan! Itu saja yang mampu saya kata ketika diminta menyarung sut PPE. Saya yang pakai tiga jam ni pun rasa rimas, bayangkan frontliners kita macam mana.

“Dalam keadaan cuaca yang panas dan tidak selesa sewaktu penggambaran antara yang tidak akan saya lupakan sepanjang terlibat dengan pembikinan FTV ‘Frontliner’.

“Ibaratnya memakai ‘sauna bergerak’…Saya bayangkan frontliner kita yang pakai sut PPE lebih lama, hari raya pun mereka terpaksa sarung sut PPE dan itu membuatkan saya lebih terharu dengan pengorbanan para pejuang barisan hadapan bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan,” katanya yang memegang watak Dr. Azhan menerusi FTV tersebut.

Azhan berkata demikian ketika ditemui Gempak ketika Majlis Pelancaran FTV Fronliner di Big Boss, Publika, Kuala Lumpur.

Selain itu Azhan berkata, dia juga banyak belajar perkara baru sepanjang penggambaran antaranya cara membuka sut PPE dengan betul.

“Nampak senang kan? Mesti orang kata...Alah…dah pakai buka je lah, bukan susah. Sebenarnya ada cara nak buka sut PPE tu tau, bukan main buka saja.

“Walaupun saya sudah lama berlakon, tetapi dalam Frontliner ni saya banyak belajar benda baru. Mujur pihak produksi D’Alphalegacy sudah bersedia lebih awal.

“Jadi tak ada masalah di lokasi kerana mereka sudah buat kajian terperinci daripada sekecil-kecil benda sehinggalah ke set seperti wad untuk pesakit Covid-19 dan sebagainya,” katanya.

Selain Azhan, FTV Frontliner arahan Razif ‘Ajiboy’ Rashid ini turut dibarisi Beto Kusyairy, Emma Maembong, Achey, Farah Ahmad, Wan Maimunah, Ashraf Muslim, Zul Handyblack, DSP Noorhamasiren, Meerhakim dan Shamsul Danish.

Filem televisyen (FTV) ‘Frontliner’ merupakan sebuah naskah asal yang diinspirasikan daripada kisah benar mengenai pengorbanan dan konflik dalaman golongan wira barisan hadapan yang menjadi pejuang benteng utama dalam membendung penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia.

Frontliner dijangkabersiaran menerusi platform Astro First Eksklusif di saluran 480 pada Oktober ini.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, FTV ini juga boleh distrim di platform digital menerusi perkhidmatan On Demand.