Kegigihan seorang kanak-kanak untuk menyambung kembali bacaan Al-Quran dalam program Geng Ngaji terbitan Astro Oasis selepas talian telefon terputus menjadi tular di media sosial.

Penelefon cilik bernama Muhammad Lutfi Rabbani yang berusia 9 tahun itu tidak putus asa menghubungi kembali studio Geng Ngaji namun panggilannya terputus kembali di tempat bacaan yang sama sebanyak tiga kali.

Insiden yang lucu yang berlaku sewaktu siaran langsung di kaca televisyen itu benar-benar mencuit hati netizen.

Malah moderator Geng Ngaji iaitu Ustaz Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin dan Juara Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa, Farhatul Farizurah juga tidak dapat menahan ketawa dengan telatah adik Lutfi.

Bagaimanapun mereka memuji semangat dan usaha adik Lutfi untuk belajar mengaji dan menyambung kembali bacaan surah At-Taubah walaupun berdepan dengan halangan.

Momen itu juga turut dikongsi oleh Ustaz Fakhrul menerusi akaun Instagramnya.

“Adik Lutfi ni call, tapi tiga kali putus kat ayat yang sama… Mula ingat dia terletak call ke tapi tiga kali pula jadi. Adoi… maaf la na.

“Harap adik Lutfi cuba call lagi tau. Semangat macam adik ni kita nak tau, jangan putus asa belajar mengaji,” tulisnya.

A post shared by Fakhrul UNIC ™️ (@fakhrulunic)


Rakaman video pendek itu turut mendapat perhatian selebriti antaranya Alif Satar, Diana Amir dan juga pelakon Indonesia, Oki Setiana Dewi.


Saksikan Geng Ngaji secara langsung setiap Isnin hingga Sabtu, jam 6 petang di Astro Oasis (saluran 106).

Geng Ngaji juga boleh distrim pada hari dan waktu yang sama di YouTube Gempak.