VIRAL

3 M*ut Berebut Makanan Percuma Di Majlis Kahwin Anak, Ahli Politik Beri RM39,000

Maliah Surip 20/07/2025 | 11:55 MYT
Pesta perkahwinan anak ahli politik Indonesia, Dedi Mulyadi bertukar tragedi selepas tiga orang dilaporkan maut selepas berebut untuk masuk ke sebuah kawasan menyediakan makanan percuma buat tetamu.

Selain maut, ada tetamu yang pengsan kerana tersepit sewaktu bersesak dan menyerbu di pintu gerbang pesta tersebut.

Mereka yang maut adalah kanak-kanak berusia 8 tahun, seorang warga emas dan seorang polis. Insiden berlaku di Pendopo Garut pada 18 Julai 2025, lapor CNNIndonesia.

Dedi yang juga merupakan Gabenor Jawa Barat mengaku tidak mengetahui insiden tersebut berlaku sewaktu pesta pernikahan anaknya, Maula Akbar dan Putri Karlina.

Beliau menjelaskan dirinya tidak tahu ada acara menyediakan makanan percuma, namun sedar pasangan pengantin baharu diraikan dengan majlis pentas seni untuk menghibur masyarakat yang diadakan di Lapangan Otto Iskandara Dinata.

“Secara peribadi saya tidak tahu pengisian pesta Maula dan Putri, saya tahu akan ada aktiviti bertemu rakyat dengan bentuk pentas seni.

“Saya tidak tahu bahwa ada acara makan percuma bersama penduduk,” katanya.

Turut melahirkan duka cita terhadap insiden yang berlaku, Dedi juga tidak lepas tangan.

Selain memohon maaf, beliau juga mengatakan akan memberi bantuan kewangan sebanyak RM39,000 bagi meringankan beban keluarga mangsa.

“Tanpa mengurangi rasa hormat, kami memberikan wang duka terhadap setiap keluarga masing-masing Rp 150 juta (RM39,000)," tulis Dedi dalam akun Instagram peribadinya @dedimulyadi71.
#Kahwin #Viral #Indonesia #Makanan #Maut #Percuma #Rebut