HIBURAN

3 Pagi ERA Tawan Tangga Merdeka 118 Bersama Syed Saddiq, Kasih Iris Leona!

Amri Hassan 16/08/2025 | 04:50 MYT
Penyampai radio 3 Pagi ERA, Nabil Ahmad dan Radin, mencipta detik bersejarah apabila berjaya menamatkan cabaran mendaki tangga bangunan Merdeka 118, mercu tanda ikonik yang merupakan bangunan kedua tertinggi di dunia.

Cabaran ini bukan sahaja menguji tahap kecergasan fizikal, malah turut menuntut kekuatan mental kedua-dua penyampai yang terkenal dengan semangat mencuba perkara baharu.



Bagi Nabil, peluang menawan puncak Merdeka 118 merupakan impian yang sudah lama disimpan.

“Perasaan masa panjat memang teruja, sebab ini kali pertama saya naik ke Merdeka 118. Dah lama teringin nak lihat pemandangan dari atas, memandangkan ini bangunan kedua tertinggi di dunia. Risau tu ada juga, takut separuh jalan tak mampu teruskan… tapi saya nak cabar diri sendiri,” katanya.

Nabil turut mengakui rasa bimbang terhadap keadaan rakan setugasnya, Radin, yang pernah mengalami kecederaan ACL.

“Memang risau untuk Radin, sebab dia baru nak kembali aktif. Tapi kami saling memotivasikan. Saya kata pada dia, kalau dapat tawan 118, maknanya banyak lagi cabaran hidup yang dia boleh hadapi,” tambahnya.

Sementara itu, Radin berkata walaupun teruja, rasa gementar tetap menguasai dirinya sebelum memulakan pendakian.

“Bila dengar Merdeka 118, terus rasa nak cuba. Tangga rumah pun dah penat, ini pula 118. Mula-mula memang cuak sebab lutut saya dah dua tahun tak buat aktiviti lasak. Ada rasa takut, tapi juga teruja. Walaupun sampai lambat di puncak, saya tetap puas sebab pemandangan memang luar biasa. Kalau bukan sebab kerja di ERA, saya takkan dapat peluang ini,” jelasnya.

Pendakian ini berakhir dengan kejayaan kedua-dua penyampai, yang kemudiannya menikmati panorama Kuala Lumpur dari ketinggian menakjubkan. Acara ini turut disertai oleh Syed Saddiq dan Leona, namun Pak Azad tidak dapat bersama ekoran kecederaan ringan akibat kemalangan motosikal.
#Viral #Syed Saddiq #Kasih Iris Leona #Tangga #Merdeka 118 #3 Pagi Era