Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

3 Pelajar UiTM Dungun Maut: 'Saya Sudah Tiada Anak Lelaki' - Bapa Mangsa

Ernalisa
10/10/2024 04:55 MYT
"Saya dah tak ada anak lelaki selepas kedua-duanya meninggal dunia akibat kemalangan".

Demikian kata Jamaludin Hussin, 53, bapa kepada Khairil Anwar, 20, seorang daripada tiga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun yang maut dalam kemalangan di Kampung Sura Hujung, di sini, malam tadi.

Selain Khairil Anwar, anak sulung Jamaludin, Muhammad Khairul Izzudin juga meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya di Senawang, Negeri Sembilan tujuh tahun lalu.


"Anak sulung saya dijemput Ilahi pada 3 Oktober 2017 dan kini anak bongsu (Khairil Anwar) pula pada 9 Oktober (semalam).


"Saya tak sangka kejadian menimpa anak sulung saya 'berulang' dan kali ini menimpa anak bongsu pula... kini, kedua-dua anak lelaki saya sudah tiada akibat kemalangan pada bulan yang sama," katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Dungun pada Khamis.


Terdahulu, media melaporkan tiga pelajar UiTM Dungun maut, manakala seorang parah selepas terbabit kemalangan di hadapan universiti berkenaan malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.20 malam, empat pelajar yang menunggang dua motosikal dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV yang dipandu seorang wanita.

Selain Khairil Anwar yang juga penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, dua lagi yang terkorban adalah Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20 dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, masing-masing penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan.

Selain itu, rakan mereka, Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, parah.
Dalam pada itu, Jamaludin berkata dia menerima panggilan daripada salah seorang kakitangan UiTM kira-kira jam 9 malam sebelum bergegas ke Dungun dan tiba jam 3.30 pagi.

Katanya, kali terakhir dia dan isteri, Norma Mohammed Nor, 52, bertemu anak bongsu daripada lima beradik itu pada 6 Oktober lalu ketika menghantarnya ke Dungun untuk memulakan semester baharu.

"Kami ke sini pada 4 Oktober dan balik ke Ampang pada 6 Oktober lalu dan memang terkejut apabila menerima berita ini," katanya.

Jenazah Khairil Anwar dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

SUMBER:Berita Harian

#Anak #Lelaki #Sudah #SAYA #tiada
;