3 Sebab Mengapa Perlu Tonton Brother Of The Year.. Sebab No 2 Mesti Wanita Suka!

Kamaruddin Razal
Julai 5, 2018 23:13 MYT
Naskah hebat dari Thailand, Brother Of Year sedang hangat ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 28 Jun lalu.
Menampilkan lakonan hebat Sunny Suwanmethanont, Urassaya Sperbund dan anggota kumpulan K-Pop 2 PM, Nichkhun Horvejkul, filem ini mula tular di laman sosial kerana jalan ceritanya.
Gempak senaraikan tiga sebab mengapa anda perlu menonton filem berdurasi lebih dua jam ini:
1) Kisah adik beradik
Tema perhubungan antara adik beradik jarang diangkat menjadi subjek sesuatu filem, terutamanya hubungan adik dan abang. Seperti kata pepatah, air dicincang tidak akan putus, filem ini menggarap hubungan adik dan abang dengan baik sekali.
2) Penampilan menarik teraju utama
Menerusi pemerhatian di laman sosial, ramai wanita tertarik untuk menonton filem ini kerana penampilan pelakon yang kacak!
Sunny Suwanmethanont merupakan pelakon tampan berbakat mempunyai darah kacukan Thai, Singapura dan Perancis manakala peminat K-Pop pula pastinya tak sabar menunggu aksi anggota kumpulan 2 PM yang kacak, Nichkhun Horvejkul.
3) Filem No 1 Thailand
Semenjak ditayangkan bermula 10 Mei 2018 di Thailand, filem ini berjaya mencatat sejarah tersendiri. Brother of The Year dinobatkan sebagai filem nombor satu di Thailand semenjak tarikh tayangan!
Brother Of The Year arahan sutradara Vithaya Thongyuyong ini berkisar mengenai kisah dua orang adik beradik, Chut (Sunny Suwanmethanont) dan Jane (Urassaya Sperbund) yang mempunyai personaliti berbeza.
Chut sering gagal untuk merancang kehidupannya. Berbeza dengan Jane, wanita itu sering berjaya dalam apa jua bidang yang dilakukan dan menganggap Chut sebagai abang yang gagal.
Namun begitu, Chut sentiasa melindungi adiknya terutama dalam hal membabitkan percintaan.
Apabila Jane menjalin hubungan dengan jejaka kacukan Jepun bernama Moji (Nichkhun Horvejkul), dia menyembunyikan hubungan itu daripada pengetahuan Chut.
Konflik mula timbul apabila Moji melamarnya. Jane perlu pindah ke Jepun dan dia yakin Chut pasti tidak bersetuju dengan hasratnya itu.
Teks: Kamaruddin Razal
#Filem #Filem #Brother of The Year