Hiburan
3 Tahun Tiada Tawaran Berlakon, Balkisyh Buka Gerai Tepi Jalan
Pelakon Balkisyh Semundur akui terpaksa berniaga dengan membuka gerai tepi jalan untuk menjana pendapatannya selepas kekurangan tawaran berlakon sejak tiga tahun lalu.
Balkisyh berkata dia baru sahaja membuka gerai nasi ayam kukus itu dua minggu lalu demi menampung kos perbelanjaan harian keluarganya.
"Saya pun tidak tahu di mana silapnya sehinggakan saya tiada tawaran berlakon selain drama Mak Cun sejak tiga tahun lalu.
"Tahun pertama itu saya boleh bertahan lagi, tetapi masuk tahun ketiga saya memang perlu bangkit dan fikirkan sesuatu kerana saya sudah berkeluarga dan ada anak untuk saya perlu menampung kos perbelanjaan harian.
"Jadi saya ambil keputusan untuk membuka gerai tepi jalan di Wangsa Maju dengan menjual nasi ayam kukus dan laksa utara.
"Ia baru sahaja mula beroperasi sejak dua minggu lalu dan saya gembira kerana ia mendapat sambutan," katanya kepada Astro Gempak.
Balkisyh ditemui selepas pelancaran Mak Cun Mart di Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.
Sementara itu, ditanya mengenai wataknya dalam drama bersiri Mak Cun, Balkisyh berkata ia berjaya mengangkat namanya sebagai pelakon komedi.
Namun dalam masa yang sama Balkisyh memberitahu ia memberi kesan negatif terhadap kerjaya lakonannya.
"Watak komedi saya dalam Mak Cun memang paling menyerlah dan dikenali tetapi saya sedar ia beri kesan buruk pula apabila saya tidak diberi watak lain kerana watak Atul itu benar-benar melekat dengan saya.
"Bahkan, selama tiga tahun ini saya tidak mendapat apa-apa tawaran berlakon dari produser lain," katanya lagi.
Mengenai perkembangan lain, Balkisyh bakal muncul dalam drama bersiri Mak Cun musim ketiga setiap hari Rabu hingga Jumaat, jam 9 malam 20 April ini di TV3.
Teks oleh Syafiqah Jalal
Must-Watch Video