Sekitar Mac lalu, Zoo Negara menerusi laman sosialnya giat mempromosikan kempen haiwan angkat atau adoption sebagai salah satu usaha untuk memastikan bekalan makanan, perubatan dan pengurusan haiwan-haiwan akan berterusan.

Usaha berkenaan dilakukan susulan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan sejak 18 Mac lalu.

Menerusi kempen ini, orang ramai boleh memilih sama ada mahu memberi sumbangan secara one off atau secara bulanan, mengikut pakej yang tersedia.

Terbaru, menerusi laporan Bernama, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Amat Lana berkata, program Zoo Negara itu mendapat sambutan menggalakkan dan ramai penderma baharu tampil menghulurkan sumbangan.

"Sebagai bukti kejayaan program ini, kami menerima sambutan hangat daripada rakyat Malaysia yang prihatin melalui komen-komen positif yang dikongsi dalam pelbagai platform media sosial.

“Jumlah penderma meningkat terutamanya dari April hingga Ogos lepas dengan hampir 50,000 penderma menghulurkan sumbangan,” katanya.

Jelasnya, bagi memudahkan para pencinta haiwan untuk menghulurkan sumbangan melalui program Adopt an Animal ini, Zoo Negara telah menjalinkan kerjasama dengan Ticket2U, Maybank2U, Lazada dan Shopee, sejak 2017 agar sumbangan dapat terus disalurkan.

“Program berkenaan menawarkan sebanyak 30 jenis haiwan untuk dijadikan anak angkat dan pada masa sama, masyarakat secara simbolik dapat memainkan peranan penting dalam membantu Zoo memperoleh dana bagi meneruskan kelangsungan hidup haiwan-haiwan yang ada di dalam zoo itu,” katanya.

Difahamkan, antara haiwan yang boleh dipilih untuk dijadikan haiwan angkat ialah Kayla (harimau Malaya), Sibol (gajah), Flash (cheetah) dan banyak lagi.

Sumber: BERNAMA, Awani
Gambar: Astro Awani