Pendakwah bebas, Ebit Lew akui sedih melihat sebuah keluarga yang tinggal di rumah yang hampir roboh bersama kandang kambing selama 30 tahun di Bachok, Kelantan.

Ebit Lew berkata dia tidak menyangka ada lagi insan yang tinggal di tempat sebegitu.

“Sayu rasa hati. Hati mana tak sedih melihat rumah begini di Kg Alor Bakat Bachok. Tiada bilik. Tandas di luar. Bilik cuma dipisahkan dengan kain.

“Bekerja kampung sahaja. Bawah rumah bela kambing. Dah 30 tahun dirumah ini. Rumah macam nak roboh dan bilik semua kayu reput. Atap lantai terlalu uzur. Tak sangka ada orang tinggal tempat begini,” katanya.

Ebit Lew meluahkan perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.

Menerusi entri tersebut, Ebit Lew memuat naik video ketika membuat lawatan di rumah tersebut.

Bagi membantu keluarga tersebut, Ebit telah memberitahu dia bakal membina sebuah rumah baru dengan kos sebanyak RM40,000.

“Saya akan buatkan rumah baru untuk makcik ini. Rumah tiga bilik. Kos dalam RM30,000 ke RM40,000 ribu.

“Kami terus ke hardware beli barang untuk buat rumah baru sebelah belakang. Kak Raja Anita akan cari beberapa orang untuk buat rumah ini termasuk tuan rumah sendiri akan menyiapkan rumah ini,” beritahunya.

Pun begitu, Ebit sempat mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beberapa pihak lain yang turut membantu menyalurkan sumbangan setiap bulan.

“Syukur saya dimaklumkan JKM ziarah dan dah luluskan baru ini RM750 bantuan untuk 5 orang anak. Seorang RM150. Terima kasih JKM. Terima kasih JKM dan Zakat.

“Terima kasih Yb dan Ketua Kampung. Terima kasih semua NGO. Terima kasih Kak Raja Anita Raja Mukhtar dan team Kelantan. Terima kasih yang bersama saya semuanya,” tambahnya lagi.

Ebit Lew terkenal dengan membuat kerja amal dan membantu ramai fakir miskin atau pihak-pihak yang memerlukan bantuan segera.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)