Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

3,700 Maut Dalam Gempa Bumi Turkiye & Syria, Mangsa Gambarkan Keadaan Seperti Hari Kiamat

Maliah Surip
07/02/2023 00:31 MYT
Semalam dunia dikejutkan dengan berita bencana dua gempa bumi kuat yang menghancurkan Turkiye dan Syria. Ia menjadi gempa bumi terkuat di rantau itu dalam hampir satu abad melanda Turkiye dan Syria.

Setakat laporan ini ditulis, Reuters mencatatkan sebanyak 3,700 mangsa terkorban manakala ribuan lainnya kehilangan tempat tinggal dalam gempa bumi sekuat magnitud 7.8.

Memburukkan lagi keadaan adalah cuaca sejuk melampau kini sedang melanda kawasan tersebut.

Salah seorang mangsa menggambarkan suasana sewaktu dan selepas gempa bumi tidak ubah seperti hari kiamat.

“Ia seperti hari kiamat. Sekarang cuaca sangat sejuk dan hujan dan kami perlu bertahan,” kata seorang rakyat Syria, Abdul Salam al-Mahmoud seperti dilaporkan agensi tersebut.

Seorang lagi mangsa di Selatan Turkiye, menceritakan detik cemas sewaktu bangunan tujuh tingkat di sebelah kediamannya runtuh.

“Kami bergoncang seperti dalam buaian. Kami sembilan orang di rumah. Dua anak saya masih terperangkap dalam runtuhan. Saya menunggu mereka,” katanya yang mengalami patah tulang dan cedera pada bahagian muka.

Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan menyifatkan gempa bumi yang melanda negara itu sebagai terburuk dalam sejarah selepas tahun 1939. Namun semua pihak kini memainkan peranan dalam usaha menyelamat.

“Semua meletakkan sepenuh hati dalam usaha menyelamat walaupun cuaca buruk,” katanya.

Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras pada awal pagi Isnin, dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan itu berpusat di Daerah Pazarcik.

#Syria #Berita #Bencana Alam #Gempa Bumi #Maut #Turkiye