HIBURAN

4 Bulan Kahwin, Isteri Fikry Ibrahim Fail Cerai

Ainun Md Zooki 19/06/2025 | 02:16 MYT
Isteri kepada pelakon dan pengacara, Fikry Ibrahim iaiti Siti Khalizah Alihan memfailkan permohonan perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Khamis pagi.

Isteri fail cerai

Siti Khalizah dilihat hadir ke mahkamah dengan mengenakan pakaian jubah berona hitam pada pukul 9.40pagi manakala suaminya, Fikry belum kelihatan lagi.
Perkara itu disahkan oleh peguam syarie mewakili Siti Khalizah iaitu Wan Muhammad Afiq Mohd Razib.

“Ya, tapi saya tak nampak dia lagi,” kata peguam, Wan Muhammad ketika bertanya mengenai kehadiran Fikry.

Sebutan tuntutan dan permohonan perceraian dijadualkan berlangsung pukul 9 pagi ini hadapan hakim syarie Abdul Fattah Datuk Kamarudin.
Terdahulu, Fikry dan Siti Khalizah dilaporkan melangsungkan perkahwinan di Jitra, Kedah, pada 12 Februari lalu.
Pernikahan itu berlangsung secara tertutup, namun ia tersebar apabila jurusolek berkongsi beberapa foto memperlihatkan Fikry bersama pasangannya itu dinikahkan.
Susulan itu, Fikry pernah berkongsi dia tidak berniat merahsiakan perkahwinannya kerana enggan menghebahkan perkara yang belum pasti kepada peminat.
“Bukan mahu merahsiakan perkahwinan tapi saya percaya jika belum pasti jangan kongsi," katanya.
Fikry berkata sedemikian menerusi program Melodi yang dikendalikannya bersama Ain Edruce.
Kemudian mengulas mengenai dakwaan dia seolah-olah terpaksa berkahwin susulan raut wajahnya dilihat seperti tidak rela, Fikry menyangkal tanggapan tersebut.
Fikry berkata raut wajahnya itu mungkin disebabkan sedang berfikir mengenai tanggungjawab yang semakin berat akan dipikul selepas itu.
Tambah aktor berusia 31 tahun itu, walaupun sudah bergelar suami namun dia perlu menjaga ibunya yang semakin uzur di kampung.
#cerai #Mahkamah #Fikry Ibrahim #Fail Cerai