"4 Bulan Waktu Paling Sukar!" - Gadis Melayu Menang Tempat Kelima Miss Universe New Zealand

Amri Hassan
Ogos 7, 2018 09:53 MYT
Nurul Zuriantie Shamsul mengharumkan nama negara apabila menduduki tempat kelima dalam pertandingan ratu cantik Miss Universe Malaysia New Zealand 2018.
Berkongsi pengalamannya, Nurul akui pernah berdepan detik sukar sepanjang empat bulan pertandingan itu berlangsung.
"Sepanjang empat bulan ini menjadi waktu paling sukar saya, ada perkara yang berlaku bukan seperti yang saya mahukan tetapi selepas itu pasti akan ada sesuatu yang manis.
"Alhamdulillah, selepas saya habis menangis saya rasa sangat tenang dan kembali bersemangat," katanya.
Kata Nurul, ketika berada di pentas akhir Miss Universe New Zealand, dia tidak rasa gementar sebaliknya sangat teruja.
"Saya tahu apa juga yang berlaku di atas pentas ia sudah tertulis sebagai suratan Ilahi.
"Jadi, ketika di pentas akhir saya langsung tidak gementar sebaliknya sangat teruja!
"Miss Universe New Zealand merupakan pengalaman yang sangat bermakna bagi saya," tambahnya.
Anak kelahiran Ampang, Selangor ini antara 20 finalis yang berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan itu.
Peringkat akhir pertandingan itu berlangsung pada Sabtu malam waktu Malaysia dan disiarkan secara langsung di laman Facebook Miss Universe New Zealand.
Nurul yang berpindah ke New Zealand ketika berusia lima tahun ini kelihatan anggun berhijab warna emas dan menyarungkan busana berperincian rona yang sama.
Nurul merupakan satu-satunya peserta Asia, beragama Islam dan bertudung. Dia juga mencatat sejarah sebagai peserta bertudung pertama berjaya mara ke pentas akhir pertandingan ratu cantik itu di New Zealand.
Sementara itu, peserta berusia 27 tahun, Estelle Curd dimahkotakan sebagai pemenang Miss Universe New Zealand 2018, sekali gus mewakili negara itu bagi pertandingan Miss Universe ke-67 yang bakal berlangsung di Bangkok, akhir tahun ini.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @nurulzbshamsul
#Miss Universe #New Zealand #Nurul Zuriantie Shamsul