Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“4 Hari Saya Di Maldives Kerana Pengsan Dalam Kapal Terbang…Hari Kelima Baru Sampai Makkah” – Ebby Yus

Fiza Kamarudin
18/11/2021 09:47 MYT
Pelakon dan pelawak Ebby Yus mengucapkan rasa syukur kerana dapat menyempurnakan ibadah umrahnya walaupun diuji masalah kesihatan.

Ebby berkata, dia mengikuti rombongan umrah ke Makkah pada 16 Oktober lalu, namun mengalami serangan jantung ketika dalam perjalanan.

“Detik mencemaskan itu berlaku ketika mahu ke tandas di dalam kapal terbang. Masa tu dalam sejam lagi, kapal terbang tu akan transit di Maldives.

“Tiba-tiba berlaku gegaran kerana ‘air pocket’ dan saya pengsan. Uztaz kata ada dalam 10 minit juga saya tidak sedar.

“Bila saya sedar saya nampak ada orang di sisi saya dan saya dengar anak kapal buat pengumuman jika ada doktor atau jururawat yang boleh berikan bantuan.

“Kebetulan ada seorang jururawat dari Malaysia yang bekerja di Riyadh, Arab Saudi dan dia tolong berikan rawatan awal kepada saya.

“Tiba saja di Lapangan Terbang Maldives, doktor di sana beritahu saya perlu dibawa ke hospital dan tak boleh teruskan perjalanan," katanya.

Tambah Ebby lagi, terlepas peluang untuk mengikuti rombongan seperti yang dijadualkan.

“Sepatutnya rombongan kami ke Madinah dahulu sebelum masuk ke Makkah. Tapi disebabkan saya ‘sangkut’ empat hari di Maldives saya tak dapat sertai mereka.

“Ketika di hospital Maldives, doktor menyarankan saya untuk tinggal beberapa hari lagi, namun saya fikirkan tentang kos. Saya tak mampu nak bayar.

“Satu hari sahaja di hospital dan saya minta keluar. Saya dan Ustaz Ashraf ke lapangan terbang untuk membeli tiket ke Makkah tapi malangnya tiket tiada hingga kami terpaksa bermalam di Maldives selama empat hari.

"Jadi saya dan Ustaz Ashraf pun beli tiket terus ke Makkah kerana hari kelima rombongan sudah bergerak ke sana,” kata Ebby.

Bagaimanapun, Ebby bersyukur kerana urusannya untuk menyempurnakan ibadah umrah dipermudahkan, walaupun terpaksa berkerusi roda.

"Ini adalah ujian buat saya. Enam hari di Makkah saya terpaksa menggunakan kerusi roda ketika melakukan tawaf kerana masih belum kuat sepenuhnya.

“Namun, saya bersyukur kerana semuanya dipermudahkan walaupun perjalanan umrah kali kedua ini lebih memberi ujian," katanya.

Ebby sebelum ini beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana penyakiy lemah jantung dan buah pinggang yang dihidapinya.
#Pelawak #Ebby Yus #Umrah
;