Umum mengetahui betapa teruknya keadaan di perumahan flat Sri Muda, Shah Alam, Selangor setelah dilanda musibah banjir baru-baru ini.

Sungguhpun banyak kawasan telah beransur pulih, namun difahamkan kawasan di flat Sri Muda masih bergenang dengan air banjir.

Ramai juga penduduk yang terperangkap dan kebanyakan daripada mereka terputus bekalan makan memandangkan kesukaran bot penyelamat dan bantuan untuk masuk ke kawasan tersebut.

Hal ini turut mendapat perhatian pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew. Menerusi perkongsian video di laman Instagram, Ebit menjelaskan yang sudah hampir empat hari penduduk yang terperangkap di sana terpaksa bergelap akibat terputus bekalan elektrik.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)


“Kisah malam tadi di Sri Muda Shah Alam. Empat hari tanpa elektrik. Tiada talian untuk menghubungi sesiapa. Mengharapkan bantuan sampai. Ya Allah berat ujian mereka.

“Semoga Allah beri kekuatan dan ketabahan pada semua. Ya Allah bantulah kami semua. Selamatkanlah kami semua,” tulisnya di Instagram.

Dalam pada itu, Ebit turut mendoakan agar semua urusan bantuan untuk mangsa-mangsa banjir dipermudahkan.

“Semoga Allah bantu ATM, PGA, PDRM, Nadma, Rela, bomba dan semua badan terlibat dan semua NGO serta seluruh Masyarakat Malaysia yang baik.

“Terharu anak muda sanggup khidmat meredah bahaya dari malam sampai Subuh tiga hari berturut-turut dalam misi menyelamatkan dan membantu memberi senyuman dikala dalam ketakutan dan benar-benar dalam kesusahan. Semoga Allah jaga pelihara semuanya,” tulisnya lagi.

Menerusi ruangan komen, ramai yang memberikan reaksi positif terhadap usaha yang dilakukan oleh Ebit dalam membantu mangsa yang terlibat.

“Alhamdulillah syukur.. Terus membantu ustaz dan team, rakyat Malaysia perlu bantuan ustaz dan team, kerana Allah SWT,” ujar seorang pengikutnya.

Dalam pada itu, ada juga yang menyifatkan musibah ini sebagai ujian buat kenalan-kenalan rapat mangsa.

“Ni sebenarnya ujian terbesar untuk orang sekeliling mangsa, sama ada nak tengok saja atau pun turut sama membantu. Tak dapat bantu dari segi wang ringgit, sumbangan dan sebagainya bantulah dari segi mendoakan kemudahan, kelancaran, keselamatan untuk semua mangsa terlibat pun sudah cukup memadai, semoga Allah merahmati kita semua,” tulisnya.