VIRAL

4 Jam Sehari Naik Kapal Terbang Demi Segenggam Diploma

Gempak 22/04/2025 | 12:27 MYT

Ketekunan luar biasa seorang penyanyi idola Jepun yang sanggup berulang-alik menaiki penerbangan selama empat jam setiap hari demi menghadiri kuliah di universiti telah mencuri perhatian ramai dan meraih pujian netizen.

Yuzuki Nakashima, 22, ahli kumpulan pop terkenal Sakurazaka46, mendedahkan rutin hariannya menerusi satu vlog baru-baru ini, di mana dia berkongsi perjalanan hariannya dari Tokyo ke Fukuoka, sejauh kira-kira 1,000 kilometer.

Dalam video tersebut, Nakashima memaklumkan dia sudah lama menyimpan impian untuk belajar di universiti tersebut sejak di bangku sekolah menengah.

Disebabkan kedudukan universiti yang jauh, dia terpaksa menaiki penerbangan setiap pagi dari Lapangan Terbang Haneda seawal jam 6 pagi selepas bersiap sejak jam 5 pagi (waktu tempatan).

Dia tiba di Lapangan Terbang Kitakyushu sekitar jam 9.30 pagi sebelum menaiki teksi atau bas ke kampusnya di Fukuoka, dan menghadiri kuliah seperti pelajar lain.

Perjalanan sehala itu mengambil masa lebih dua jam dan menelan kos lebih 15,000 yen (RM463) sehari. Namun, Nakashima memanfaatkan masa perjalanan itu untuk menyiapkan tugasan dan mengulang kaji pelajaran.

Selepas tamat sesi kuliah, dia terus terbang semula ke Tokyo untuk mengikuti latihan tarian dan vokal sehingga malam.

Lebih mengagumkan, dia telah menjalani rutin padat itu secara konsisten selama empat tahun.

“Walaupun saya dikenali sebagai penyanyi, saya memilih untuk merahsiakan kehidupan sebagai pelajar agar tumpuan kekal pada persembahan kumpulan,” katanya yang kini telah menamatkan pengajian dan menerima diploma.

Sebelum mengecap kejayaan bersama Sakurazaka46, Nakashima pernah melakukan pelbagai kerja sambilan untuk menampung kehidupan dan mengejar impian menjadi penyanyi.

“Saya harap dapat beri tumpuan sepenuhnya kepada persembahan pentas selepas ini. Jika anda ada impian, walau sesukar mana sekalipun, beranilah untuk mencapainya,” katanya.

Kisah inspirasi Nakashima mencetuskan perbualan hangat dalam media sosial, dengan ramai memuji ketabahan dan semangat juangnya.

Sumber: Sinar Harian

#Diploma #Sakurazaka46 #Yuzuki Nakashima