Laman Utama
4 Kali Nujum Neelofa Betul, Tahun Ini Lagu 'Semalam' Aina Abdul Diramal Juara AJL35
Empat tahun berturut-turut berjaya meramal juara Anugerah Juara Lagu (AJL) dengan tepat, ciapan pengacara popular Neelofa antara yang ditunggu-tunggu tahun ini.
Menerusi ciapan di Twitter pada Ahad, Neelofa meramalkan lagu nyanyian Aina Abdul berjudul Semalam bakal menjuarai pentas AJL35 malam ini.
Selain itu, dua lagu lain yang turut tersenarai dalam ramalan Neelofa ialah Peluang Kedua (Nabila Razali) dan Belenggu Rindu (Wany Hasrita feat Datuk Jamal Abdillah).
"Pengakuan! Saya kurang tahu mengenai lagu yang bertanding tahun ini tetapi inilah ramalan saya untuk AJL35.
"Semalam, Peluang Kedua dan Belenggu Rindu. Vokal terbaik, Azlan & the Typewriter (Jangan Khianati Aku) atau Aina Abdul (Semalam)," tulis Neelofa.
Bagaimanapun, pesan Neelofa ramalan itu tidak semestinya tepat dan mengajak penonton untuk berhibur dengan persembahan pada malam ini.
"Ini hanyalah ramalan saya tau. Ia mungkin salah. Apapun, kita enjoy AJL35, anugerah yang mengiktiraf lagu dan penulis litik kita," kata Neelofa lagi.
Tahun lalu, ramalan Neelofa mengenai lagu Sumpah milik Naim Daniel mengena apabila lagu itu dinobatkan sebagai juara AJL34.
Sebelum itu, Neelofa berjaya meramal ketiga-tiga pemenang kedudukan teratas AJL33 iaitu lagu Haram (Hael Husaini feat Dayang Nurfaizah), Bunga (Ara Johari) dan Sampai Bila (Misha Omar).
Pada AJL32, Neelofa meramalkan lagu Sejati, Jampi atau Tergantung Sepi mengungguli dan ternyata tepat.
Lagu Lelaki Teragung (Dayang Nurfaizah) pernah diangkat sebagai juara AJL31 sepertimana ramalan Neelofa di Twitter.
AJL35 menyaksikan 12 lagu berentap iaitu Semalam (Aina Abdul), 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kym Kmo & Luca Sickta), Hati (Hael Husaini), Peluang Kedua (Nabila Razali), Kau Sakiti (Amir Masdi) dan Gundah (Ernie Zakri).
Selain itu, Belenggu Rindu (Wany Hasrita, Datuk Jamal Abdillah), Hutang (Floor 88), Gila (Kaka Azraff, Noki, Loca B), Eh (Zizi Kirana), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter) dan Aku Bidadari Syurgamu (Aishah).
Must-Watch Video