Laman Utama

4,701 Kes Baharu Covid-19 Hari Ini, Kes Masih Tinggi Di Kelantan Berbanding Negeri Lain

gempak
Fiza Kamarudin
06/11/2021
10:37 MYT
Sponsor Banner
4,701 Kes Baharu Covid-19 Hari Ini, Kes Masih Tinggi Di Kelantan Berbanding Negeri Lain
Jumlah kes baharu Covid-19 terus menurun dengan 4,701 kes dilaporkan hari ini berbanding 4,922 kes semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia setakat ini mencecah 2,501,966 kes.
Dalam perkembangan lain, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengulas mengenai punca kes COVID-19 di Kelantan masih tinggi, berbanding negeri lain.
Menurut KJ, kurang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan tidak melaporkan ujian kendiri dikesan antara punca kes masih tinggi di negeri tersebut.
Beliau berkata kadar positif yang bergejala juga dikesan agak tinggi iaitu 40 peratus.
Pada masa sama katanya, Kelantan mencatatkan jumlah kompaun paling tinggi setakat ini selain penularan tinggi dikesan dalam komuniti, kontak rapat dan sporadik.
"Dalam lawatan sehari saya di Kelantan, saya dapati agak longgar pematuhan (SOP) rakyat di Kelantan. Kompaun juga paling tinggi di negeri ini, mungkin disebabkan pihak penguat kuasa aktif atau kurang pematuhan.
"Justeru, kita akan menekankan tiga aspek iaitu aspek pematuhan SOP, meningkatkan suntikan vaksin selain saringan di kalangan kontak rapat juga ditingkatkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.
Khairy turut meminta Jabatan Kesihatan Negeri mengesan dan memujuk penduduk yang belum mendapatkan vaksin terutama golongan yang berisiko tinggi supaya membuat suntikan segera.
"Mungkin kita boleh mengambil peluang mereka yang belum divaksin datang ke hospital mahu berjumpa doktor, kita vaksin mereka," katanya yang sehingga kini lebih 90 peratus penduduk dewasa sudah divaksin.
Katanya, pihaknya juga akan bekerjasama dengan farmasi swasta supaya menasihatkan mereka yang membuat ujian kendiri melapor dalam MySejahtera.
"Ramai di Kelantan yang membuat ujian kendiri, namun hanya melaporkan sekiranya positif. Justeru kita menasihatkan mereka yang membuat ujian kendiri supaya melapor bagi membolehkan Kelantan memasuki fasa empat," katanya
Sumber: Harian Metro, BHOnline
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live