Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

49 Pelajar Sakit Perut Keracunan Makan Di Sekolah

Gempak
29/09/2024 04:31 MYT
Seramai 49 pelajar di sebuah sekolah menengah di Membakut, Beaufort, Sabah mengalami sakit perut dipercayai akibat keracunan makanan pada Rabu lalu.

Pelajar tersebut dipercayai mengambil makanan pek dalam satu program yang diadakan di sekolah tersebut pada Selasa.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin mengesahkan perkara itu berkata, semua pelajar tersebut telah menerima rawatan pada hari yang sama namun kesemua murid telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Memang ada kes ini, pelajar makan makanan ketika menyertai sebuah program pada 24 September dan mengalami simptom pada keesokan harinya.

"Seramai 47 pelajar terdiri daripada Tingkatan Lima dan dua lagi pelajar Tingkatan Dua mengalami sakit perut dan cirit-birit, tetapi keadaan terkawal di mana semua pelajar sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Bagaimanapun, Raisin berkata, perkara itu masih dalam siasatan pihak sekolah dan juga daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pihak KKM telah diberikan maklumat mengenai pembekal makanan dalam program tersebut untuk tindakan lanjut dan sedang menyiasat punca keracunan makanan itu.

"Mesyuarat susulan juga akan dibuat esok dan selepas itu, pihak sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan maklumkan secara terperinci mengenai kes ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebarang maklumat adalah berdasarkan hasil dapatan siasatan daripada kedua-dua pihak dan akan dimaklumkan kemudian.

Sumber - Sinar Harian

#sekolah #Sabah #Pelajar #Murid #Keracunan Makanan #Pelajar keracunan #Sekolah Sabah
;