Penyanyi dan pelakon Ani Maiyuni mengucapkan terima kasih kepada sahabat dan orang ramai yang telah mendoakan kesihatannya dan keluarga.

Ani pada Khamis telah berkongsi berita duka tersebut di laman sosial Facebook (FB)nya, dan memberitahu lima orang ahli keluarga telah positif Covid-19.

“Assalamualaikum....di sini saya mohon DOA kalian untuk mendoakan anak sulung saya, ibu mertua saya, adik bungsu saya, adik ipar saya serta anak buah yang berumur 10thn yang positif Covid-19.

“Jangan salah anggap ye, kami semua duduk di rumah berasingan. Sebelum PKP lagi kami dah tak berjumpa sehinggalah ke hari ini. Kami sekeluarga tak keluar ke mana-mana pun.

“Maka dengan ini kami sekeluarga kena kuarantin di rumah sahaja dan menunggu tindakan selanjutnya dari pihak KKM. Terima kasih, doakan yang baik-baik,” tulisnya.

Ani ketika dihubungi Gempak memaklumkan, ibu mentuanya sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalani rawatan dan kuarantin.

“Ibu mentua dibawa KKM semalam, manakala yang lain-lain masih menanti tindakan selanjutnya dari KKM. Ibu mentua mungkin dijangkiti dari adik ipar sebab adik ipar pula mungkin dapat dari tempat kerja yang memang ada kes.

“Mengenai anak sulung saya pula sebelum ini dia ada mengalami deman ‘on & off’ selama seminggu dan selepas demamnya kebah dia beritahu bila makan tak ada rasa dan bau.

“Kebetulan adik ipar nak pergi swab test dan saya suruh bawak anak sulung sekali. Selepas empat hari keputusan keluar, positif,” katanya.

Bagaimanapun kata Ani dia berharap agar ahli keluarga lain tidak dijangkiti dan berada dalam keadaan sihat.

“Saya pasti semua orang akan rasa bimbang sekiranya virus tersebut menjangkiti ahli keluarga lain. Anak sulung saya pula sebelum keputusan keluar sudah tentu la bersama dengan adik-adik, tidur sebilik.

“Kami luang masa bersama-sama seperti biasa. Dia tidur di ribaan saya, menonton televisyen dan aktiviti lain macam biasa.

“Saya berharap agar kebimbangan saya ini tidak menjadi kenyataan. Sebagai ibu saya perlu kuat untuk anak-anak saya dan memberi semangat kepada anak sulung saya.

“Doakan kami sekeluarga ya,” katanya kepada Gempak.