Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

5 Fakta Pramugara AirAsia X Yang Menari Persis Britney Spears

Syafiqah Jalal 22/03/2017 | 10:15 MYT
Nama Assraf Nasir terus menjadi popular apabila videonya menari persis Britney Spears tular di media sosial.
Kru kabin kepada syarikat penerbangan tambang murah perjalanan jarak jauh AirAsia X akui video itu asalnya adalah untuk tontonan rakan-rakan sebelum ia dikongsi sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes di media sosial.
Setelah ia menjadi tular dan dikongsi oleh laman antarabangsa seperti Mashable dan The Huffington Post, adakah Assraf akan menghasilkan video lain?
Berikut adalah 5 perkara anda perlu tahu tentang Assraf dan video ‘Toxic’ yang dihasilkan beliau.
1. Mempunyai latar belakang dalam seni tarian
Assraf berkata beliau merupakan seorang penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dari tahun 2007 hingga 2009.
“Saya kemudian menari secara profesional seperti untuk Puteri Gunung Ledang The Musical Season 3, dan pernah menjadi penari untuk sebuah konsert Datuk Siti Nurhaliza,” katanya.
Beliau mula bertugas bersama AirAsia X pada Julai 2016 kerana turut berminat untuk menjadi seorang kru kabin.
“Antara maafaat adalah diberi peluang untuk melihat satu dunia,” katanya.
2. Video dirakam dalam masa 15 minit sahaja
Percaya atau tidak, video 'Toxic’ itu dirakam dalam masa 15 minit ketika pesawat itu dalam transit di Taipei dan selepas melalui proses pembersihan pesawat.
“Saya sudah tahu babak apa yang ingin dirakam dan saya suruh rakan setugas saya rakam video itu.
“Ia dibuat untuk berseronok sahaja. Kami gelak-gelak ketika merakam video itu,” katanya.
2. Gementar apabila Tony Fernandes tahu tentang video itu
Assraf berkata video yang dirakam di dalam pesawat itu dihasilkan secara suka-suka dan tidak pernah dimuat naik di media sosial sebelum ini.
Katanya, ia juga untuk tontonan rakan-rakan terdekat sahaja jadi beliau gementar apabila mendapat tahu bahawa Tony tahu tentang video itu.
“Tan Sri Tony Fernandes tahu video itu dari seorang eksekutif kru kabin apabila saya kongsi video itu dengan rakan setugas.
“Pada awalnya saya memang risau kerana takut akan didenda kerana kelihatan seperti sedang bermain. Namun eksekutif kru kabin itu berkata Tan Sri Tony suka benda-benda seperti ini.
"Selepas itu baru saya dapat tahu bahawa beliau kongi video itu di laman Instagram beliau,” katanya.

Classic. Airasia version of Toxic. The talent in Airasia never fails to amaze me. @assrafnasir is the best. Love it that staff can just have fun and be themselves.

A post shared by Tony Fernandes (@tonyfernandes) on

4. Tidak sangka video akan tular satu dunia
Pramugara berusia 29 tahun itu memang tidak sangka video itu akan tular di media sosial bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa.
Malah, laman web seperti 9gag, Mashable dan The Huffington Post turut kongsi video itu.
“Secara jujurnya saya memang tidak sangka ia akan jadi seperti ini.
"Setelah video itu tular, saya terima pelbagai komen. Ada yang positif dan ada yang negatif. Tetapi saya fokus kepada yang positif sahaja," kata Assraf.
5. Tiada lagi video selepas ini
Assraf tiada perancangan untuk menghasilkan apa-apa video lagi selepas ini.
“Cukup dengan satu video ini sahaja," jelasnya.
Dalam pada masa yang sama, beliau akui selesa bekerja di AirAsia kerana syarikat itu benar-benar menghargai bakat kakitangan mereka.
“Kerja tidak semestinya perlu serius sepanjang masa. Kita boleh berseronok juga.
“Malah, AirAsia boleh menjadi contoh kepada syarikat lain dimana mereka benar-benar menghargai bakat kakitangan mereka,” jelas Assraf mengakhiri perbualan.
Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: Astro Awani
#Viral #Britney Spears #Viral #Pramugara #Air Asia #Toxic
;