Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

5 Filem Mengisahkan Budaya Ragging Dan Buli

Amri Hassan
06/06/2017 06:04 MYT
Budaya buli dan ragging bukan perkara baru dalam masyarakat. Ia menjadi sebahagian daripada sifat azali manusia yang mahukan pengaruh, membuktikan kekuasaan dan menjatuhkan moraliti manusia.

Buli dan ragging adalah dua perkara berbeza. Buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan masing-masing.

Raging pula bermaksud menguji dan menduga dengan keras (anggota baharu dalam sesebuah perkumpulan). Dalam erti kata lain, ia bermakna penderaan.

Suntikan mesej kesedaran tentang kejadian buli dan ragging yang sering berlaku dalam kalangan remaja turut diserapkan dalam dunia perfileman.

Astro Gempak menyenaraikan lima buah filem terbaik yang mengangkat mesej kesedaran tentang buli dan ragging.

1. Full Metal Jacket (1987)

Filem berkisarkan peperangan dan padat aksi itu menyelitkan mesej buli dalam kalangan pelatih di asrama tentera.

Satu babak dalam filem ini memaparkan acara memukul beramai-ramai seorang pelajar menggunakan sabun yang dibelit pada tuala mandi.

Gara-gara gemuk, Leonard (lakonan Vincent D'Onofrio) dipegang oleh sekumpulan pelajar lain, mulutnya ditekup ketika sedang tidur dan dipukul oleh semua pelatih dalam dorm tersebut tanpa rasa bersalah.

Pengarah: Stanley Kubrick

Pelakon: R. Lee Ermey, Vincent D'Onofrio, Matthew Modine, Adam Baldwin



2. Hacksaw Ridge (2016)

Babak memukul pelatih ketika waktu malam bagi mengelakkan wajah dicam turut diselitkan dalam filem Hacksaw Ridge.

Desmond T Doss (lakonan Andrew Garfield) dipukul beramai-ramai oleh platun tentera yang tinggal bersama dalam satu dorm kerana polisinya enggan memegang senjata api hingga kesemua didenda.

Walau teruk dibelasah, Desmond enggan mendedahkan individu yang memukulnya ketika tidur.

Pengarah: Mel Gibson

Pelakon: Andrew Garfield, Teresa Palmer, Vince Vaughn, Luke Bracey



3. Mean Girls (2004)

Biarpun filem ini bersifat ringan, Mean Girls menyelitkan elemen buli dalam kalangan pelajar wanita di sekolah tinggi.

Rachel McAdams memainkan peranan Regina George, iaitu seorang gadis pembuli yang licik.

Regina bukan hanya talam dua muka, dia juga satu epitomi pembuli yang sanggup memanipulasi sahabat dan kekasih untuk mendapatkan apa yang dimahukan.

Pengarah: Mark Waters

Pelakon: Lindsay Lohan, Rachel McAdams, Amanda Seyfried, Tina Fey



4. 3 Idiots (2009)

Buli dan ragging dikupas dengan jelas dalam filem ini. Bukan hanya wujud dalam kalangan pelajar senior dan freshie yang baru mendaftar masuk malah, persaingan serta tekanan dalam sistem pendidikan juga mencetuskan konflik dalam diri pelajar hingga sanggup membunuh diri.

Ketika pelajar baharu mendaftar masuk kolej kejuruteraan itu, sekumpulan pelajar senior bertindak memaksa semua freshie lelaki melucutkan seluar ketika malam orientasi.

Tekanan daripada Dr. Viru Sahastrabuddhe yang disifatkan pembuli memaksa pelajar di kolej itu membunuh diri.

Pengarah: Rajkumar Hirani

Pelakon: Aamir Khan, Kareena Kapoor, R. Madhavan, Sharman Joshi



5. Hostel (2011)

Dibogelkan, dipukul, dicederakan, diliwat, dipaksa meminum air kencing dan beraksi seperti seekor anjing,; itu antara babak penyeksaan dalam filem tersebut.

Filem itu mengisahkan kehidupan sekumpulan pelajar baharu, Vishnu Pandey, Karan, Nilesh dan Bobby yang dibuli hampir setiap hari oleh pelajar senior yang diketuai oleh Feroz.

Penderaan psikologi itu memaksa mereka menyimpan dendam kepada pelajar senior universiti tersebut.

Pengarah: Manish Gupta

Pelakon: Vatsal Sheth, Tulip Joshi, Mukesh Tiwari



Teks oleh: Amri Hassan
#Hollywood #Filem #Bollywood #Hollywood #Filem #Buli #Ragging