5 Pelakon Yang Bencikan Filem Sendiri

Syafiqah Jalal
April 5, 2017 11:00 MYT
Ada filem yang dihasilkan di Hollywood tidak menepati citarasa setiap pelakon.
Walaupun watak utama akan menggerakkan keseluruhan cerita, naskhah yang sudah azalinya kuat juga mampu menjual sesebuah karya itu.
Tidak semua pelakon bersetuju setiap kali ditawarkan berlakon dalam filem-filem francais atau adaptasi komik terkenal atas pelbagai alasan.
Jadi, kami kongsikan lima bintang Hollywood yang pernah meluahkan rasa benci terhadap naskhah lakonan sendiri.
1) Channing Tatum - GI Joe: Rise of the Cobra
Filem itu diadaptasi daripada komik popular Amerika Syarikat dan mencatatkan kutipan pecah panggung $302 juta USD (RM1.3 bilion).
Namun, nilai itu tidak berjaya memujuk Channing mengubah fikirannya terhadap pilihan untuk membintangi filem terbitan Paramount Pictures itu.
"Aku bencikan filem itu! Skrip filem itu sangat teruk," katanya yang telah menerima tawaran tiga buah filem sebelum GI Joe: Rise of the Cobra.
2) George Clooney - Batman & Robin
Selepas 20 tahun membintangi filem Batman & Robin, pelakon itu masih merasakan pertaruhannya untuk berlakon dalam naskhah itu satu kesilapan hingga membunuh keseluruhan francais filem itu.
Apabila pengarah filem Christopher Nolan meminda semula jalan cerita naskhah tersebut, dia merasakan ia tindakan yang bijak.
"Aku fikir filem itu akan membuka peluang baru dalam kerjaya aku, rupa-rupanya tidak!" katanya.
3) Halle Berry - Catwoman
Tiga tahun selepas memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik Oscar Awards, Halle Berry mengakui dia tersilap percaturan menerima tawaran filem Catwoman pada tahun 2004.
"Terima kasih Warner Bros Pictures sebab memilih saya untuk filem yang teruk ini," luahnya.
4) Robert Pattinson - Twilight
Tumpuan terlebih dahulu diberikan untuk watak Cedric Diggory dalam filem Harry Potter and the Goblet of Fire.
Bagaimanapun filem Twilight Saga menghadiahkan sinar baharu dalam hidup Robert sebagai bintang filem terkenal Hollywood.
"Apabila aku membacanya (skrip), ia seperti membaca sebuah buku yang tidak sepatutnya diterbitkan," ujarnya.
5) Kate Winslet - Titanic
Karya hebat James Cameron melonjakkan nama Kate Winslet.
Namun, kegemilangan filem itu hampir 'membunuh' kehidupan Kate hingga merasakan runut bunyi filem itu membuatkan dia termuntah.
"Aku rasa seperti mahu muntah apabila mendengar lagu itu. Memang tidak patut aku berkata sebegitu tapi itu perasaan aku," katanya kepada MTV pada tahun 2012.
Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: Telegraph
#Hollywood #Hollywood #Catwoman #Channing Tatum #Kate Winslet #Robert Pattinson #Titanic