Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Filem Last Christmas

ZULHILMI JALIL
28/11/2019 01:55 MYT
Selepas dikenali menerusi filem Crazy Rich Asians, pelakon Hollywood kelahiran Malaysia, Henry Golding kini muncul dengan filem terbaru berjudul Last Christmas.

Anak kelahiran Sarawak tersebut bergandingan dengan aktres siri popular Game of Thrones, Emilia Clarke dalam naskhah arahan Paul Feig itu.

Mengangkat genre romantik komedi filem berkenaan turut menampilkan aktres kelahiran Perak, Tan Sri Michelle Yeoh.

Kehadiran dua anak Malaysia dalam naskhah Hollywood itu sudah cukup menjadikan karya berkenaan lebih dekat di hati penggemar filem di negara ini.

Filem Last Christmas ini merupakan inspirasi daripada lagu Last Christmas karya George Michael pada 1984 yang mengisahkan cinta yang tidak berbalas.

Justeru, Gempak kongsikan 5 perkara mengenai filem Last Christmas yang menemui penonton di pawagam bermula hari ini:


1. Michelle Yeoh menggoda.

Dalam nakshah ini, Michelle Yeoh memegang watak sebagai Santa iaitu pemilik kedai yang menjual barangan keperluan bagi sambutan Hari Krismas.

Namun, jangan salah anggap, anda tidak akan melihat Michelle menyarungkan kostum Santa. Santa hanyalah nama yang digunakan apabila memperkenalkan diri sahaja.

Bagaimanapun, watak Michelle cukup berbeza dengan karya-karyanya sebelum ini. Mana tidaknya, dalam Last Christmas, anda berpeluang melihat diri Michelle yang menggoda.

Gelagat Michelle yang berubah karakter seperti wanita gedik setiap kali bertemu dengan jejaka idamannya benar-benar mencuit hati.


2. Adegan dipotong

Dalam filem ini, Emilia Clarke memegang watak Kate yang merupakan pekerja kedai. Namun, Kate terkenal dengan kehidupan sosialnya yang suka 'tidur' bersama lelaki-lelaki yang ditemuinya.

Namun, bagi tayangan di negara ini, adegan-adegan tersebut sudah ditapis. Jadi, ada beberapa babak dalam filem ini yang mungkin membuatkan anda 'mengeluh' gara-gara adegan 'panas' yang dipotong.

Bahkan, ketika bertemu dengan Tom lakonan Henry Golding, Kate juga memasang hasrat untuk 'bersama' dengan jejaka itu, namun tidak kesampaian.


3. Kehidupan imigran

Antara mesej menarik mengenai filem ini adalah paparan kehidupan imigran yang duduk di London.

Bahkan, watak Kate sendiri sebenarnya berasal dari Yugoslavia yang mana keluarganya menetap di London ekoran konflik yang tercetus di negaranya.

Dalam filem ini dipaparkan realiti kehidupan sebagai imigran yang mana mereka juga berdepan dengan rasis daripada sebahagian penduduk tempatan.

Justeru, anda akan mendengar bahasa Serbo-Croatia diguna pakai dalam filem ini untuk beberapa babak terutamanya apabila Kate pulang ke rumah ibu bapanya.


4. Henry tak guna telefon

Henry memegang watak sebagai Tom. Namun, dalam filem ini, Tom digambarkan sebagai seorang jejaka yang tidak menggunakan telefon bimbit.

Situasi itu kemudian menimbulkan tanda tanya kepada Kate, namun, Tom memberikan alasan, telefon bimbitnya memang sengaja disimpan di dalam almari dan tidak mahu digunakan.

Biarpun susah untuk dihubungi untuk berjumpa, kedua-duanya kerap berjumpa secara terserempak antara satu sama lain.

Bahkan, Tom juga adakalanya hilang buat satu-satu tempoh masa sehingga gagal dikesan oleh Kate. Aneh bukan?



5. Plot twist

Kewujudan plot twist sebenarnya boleh dijangka. Ini kerana banyak persoalan mengenai perlakuan-perlakuan aneh yang ditonjolkan Tom sepanjang cerita menjadi tanda tanya.

Namun, segala yang bermain di fikiran Kate selama berkenalan dengan Tom akhirnya terjawab di hujung penceritaan.

Segala yang berlaku di awal kehidupan mereka dipaparkan menerusi flash back yang membuatkan segala misteri mengenai diri Tom terungkai.

Pengakhiran yang mengundang mood sedih. Apapun, untuk mengetahui plot twist tersebut, anda kena tonton sendiri filem ini.

Filem Last Christmas mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula hari ini.



#Filem #Filem #Last Christmas
;