Hiburan
5 Perkara Yang Kami Suka Tentang Konsert 2 Dekad Dayang Nurfaizah!
Seiring usia 20 tahun bergelar penyanyi, pemilik vokal lunak Dayang Nurfaizah berjaya memukau khalayak dengan konsert Dayang 2 Dekad malam tadi.
Berlangsung di Istana Budaya, Dayang tampil mempesonakan dengan untaian lagu malar segar dari hampir kebanyakan album studionya.
Kami diundang untuk menyaksikan satu lagi sejarah kerjaya Dayang dalam persada muzik tempatan.
Berikut kami kongsikan lima perkara paling menarik tentang Konsert Dayang 2 Dekad.
1. Bestnya pilihan lagu Dayang
Dayang bertuah kerana kebanyakan lagu yang melonjakkan namanya semula menjadi karya mesra pendengar terutama generasi muda.
Jadi, ada antara anak muda yang hadir demi mendengarkan penyanyi kelahiran Sarawak itu beraksi di hadapan mata.
Tak Pernah Menyerah, Separuh Mata Ku Bercinta, Di Pintu Syurga, Lelaki Teragung, Layarlah Kembali dan yang terbaharu Sebentar antara slot yang menjadi juadah sing-along peminat muda.
Keunggulan konsert Dayang kali ini diiringi penataan cahaya dan sistem bunyi yang mengagumkan!
2. Tangan Masuk Gear
Seperti temubual bersama Dayang sebelum ini yang mahukan konsertnya diraikan penuh mesra bersama peminat, Dayang mengotakan janjinya.
Berselang seli dengan nyanyian, Dayang mengajak peminat berkongsi semula kenangan sepanjang dua dekad usianya bergelar penyanyi daripada segi fesyen dan bahasa badannya suatu ketika dahulu.
"Lagu Kembalilah Sayang adalah lagu pertama yang saya rakamkan di studio dan orang mula bercakap mengenai saya ketika membuat persembahan di Anugerah Industri Muzik.
"Rambut ketika itu sangat istimewa dan takkan diulangi lagi.
"Sama seperti trademark tangan masuk gear yang pernah orang perkatakan suatu ketika dahulu. Penat saya berlatih bersungguh-sungguh untuk buang tabiat itu.
"Tiba-tiba sekarang ada pula yang mahukan 'tangan masuk gear' itu semula," cerita Dayang tertawa.
Dayang turut mengajak peminatnya mengimbau semula kenangan lagu-lagu lama yang tidak dinyanyikannya secara medley kali ini misalnya Sedingin Mana Cintamu, Mana Mungkin, Coretan Cinta, Hakikat Cinta dan Pintaku Yang Terakhir.
Tambah manis apabila Dayang turut berkomunikasi dalam dialek Sarawak sekali sekala, menyahut jeritan peminat yang serba teruja.
3. Berdansa ala Saloma & Nona Asiah
Seperti yang sedia maklum Dayang juga punyai kelebihan dalam melantunkan lenggok tradisional dan lagu-lagu asli.
Memberikan suntikan groove dalam beberapa lagu milik biduanita Saloma dan Nona Asiah, Dayang turut mencuri perhatian dengan lenggok tariannya. Lain macam!
Bagi yang menggemari Dayang dalam lagu pop, Ingin Ku Miliki dan Bahagia antara hadiah bermakna malam tadi.
4. Lawalah baju Dayang
Biarpun mengambil masa yang agak panjang untuk menukar persalinan pada setiap segmen, audiens lega melihat penampilan Dayang pada konsert kali ini.
Dayang tidak pernah salah memilih Datuk Rizalman Ibrahim menatagayanya!
Hadir dalam empat busana berbeza berwarna biru gelap, merah, hitam berkilat dan putih, ternyata ia tidak mengecewakan! Good job!
5. Dayang tak perlu gimik!
Dayang tak perlukan gimik untuk mencuri hati peminat, cukup dengan hanya berdiri tegak, mengalunkan melodi indah yang diiringi pemuzik hebat.
Mungkinlah kemunculan Hael Husaini untuk menyanyikan lagu Haram pada segmen kedua dianggap kejutan bagi sesetengah peminat. Tetapi siapa lagi penyanyi yang mampu menjadi gimik berkongsi pentas konsert selain Hael?
Secara keseluruhannya, konsert Dayang Dua Dekad cukup rasa. Serba indah membuai jiwa seperti perjalanan kerjaya seni Dayang sendiri.
Syabas diucapkan kepada Shiraz Projects atas kejayaan sekali lagi menerbitkan konsert hebat selepas Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour awal tahun ini.
Foto: Echolaliapictures, Shiraz Projects
Must-Watch Video