Tinggal dua hari lagi, filem The Garden of Evening Mists bakal menemui penonton di pawagam negara ini.

Semestinya, ia menjadi naskhah yang ditunggu-tunggu buat pencinta filem tempatan.

Apa yang pasti, filem terbitan Astro Shaw dan HBO Asia ini menjanjikan sebuah kisah yang bukan sahaja sarat dengan emosi sebaliknya penuh dengan mesej berkaitan kasih sayang dan nilai kekeluargaan.

Justeru, Gempak bawakan lima sebab kenapa anda perlu tonton filem The Garden of Evening Mists yang akan menemui anda bermula 16 Januari ini:


#1 Adaptasi Karya Novelis Tempatan



Filem ini merupakan sebuah naskhah yang diadaptasi daripada novel The Garden of Evening Mists. Ia merupakan sebuah karya tulisan novelis tempatan Tan Twan Eng.

Novel tersebut diterbitkan pada 2012 selepas melalui proses penulisan hampir empat tahun lamanya.

Apa yang menarik ialah novel tersebut merupakan nukilan penulis ternama yang pernah memenangi Man Asian Literary Prize pada 2012 dan Walter Scott Prize bagi kategori fiksyen sejarah pada 2013.

Jadi, bagi mereka yang pernah membaca novel tersebut, semestinya tidak sabar untuk melihat bagaimana hasil penceritaan daripada lebih 400 muka surat itu diterjemah dalam bentuk visual di layar perak.


#2 Barisan Pelakon Bertaraf Antarabangsa


Filem The Garden of Evening Mists merupakan sebuah filem tempatan yang diterbitan oleh Astro Shaw dan HBO Asia. Biarpun, ia merupakan sebuah filem tempatan, namun, barisan pelakon yang membintangi karya ini merupakan mereka yang cukup berpengalaman di persada antarabangsa.

Filem ini mengangkat dua nama sebagai teraju utama iaitu Sinje Lee dan Hiroshi Abe. Sinje yang merupakan anak tempatan mencipta nama di Hong Kong dan Taiwan.

Sementara itu, Hiroshi Abe pula merupakan pelakon yang cukup popular di Jepun. Sinje dikenali dengan filem The Eye manakala, Hiroshi Abe popular dengan filem (After The Storm).

Bukan itu sahaja, filem ini turut menampilkan barisan pelakon ternama lain antaranya, Sylvia Chang (Love Education), David Oakes (Cold Skin), Julian Sands (The Girl With The Dragon Tattoo) dan John Hannah (The Mummy).


#3 Menang Anugerah Golden Horse



Walaupun belum ditayangkan di negara ini, filem The Garden of Evening Mists sudah melakar sejarahnya tersendiri apabila berjaya menempatkan diri dalam sembilan pencalonan di Anugerah Golden Horse ke-56.

Anugerah Golden Horse merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada karya-karya ternama di Asia sama seperti Oscars.

Sembilan pencalonan itu ialah Filem Terbaik, Pengarah terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Adaptasi Terbaik, Sinematografi Terbaik, Arahan Seni Terbaik,m Rekaan Kostum & Solekan Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Penyunting Filem Terbaik.

Daripada sembilan pencalonan itu, filem ini berjaya memenangi kategori Rekaaan Kostum & Solekan Terbaik.


#4 Papar Sejarah Malaysia



The Garden of Evening Mists mengambil latar masa sewaktu penjajahan Jepun pada 1941 ketika Perang Dunia Kedua.

Jadi, dalam filem ini, anda dapat saksikan sendiri bagaimana kekejaman tentera Jepun terhadap penduduk di Tanah Melayu.

Ramai yang menjadi mangsa penindasan, selain diceritakan juga bagaimana terseksanya kehidupan anak-anak gadis pada masa itu yang dijadikan sebagai hamba seks kepada tentera Jepun.

Bahkan, karya ini juga memaparkan kisah kehidupan selepas Perang Dunia Kedua selepas Jepun menyerah kalah. Jadi, anda dapat rasakan dua era berbeza yang ditonjolkan dalam filem ini.

Secara tidak langsung, penonton berpeluang mempelajari sendiri sejarah proses pembentukan negara Malaysia.


#5 Keindahan Cameron Highlands



Proses penggambaran dilakukan di beberapa lokasi di negara ini. Apa yang menariknya, filem arahan pengarah Taiwan, Tom Shu-Yu Lim ini banyak diadakan di Cameron Highlands, Pahang.

Jadi, secara tidak langsung, anda dapat melihat sendiri keindahan ladang teh dan juga kecantikan Hutan Lumut atau lebih dikenali sebagai Mossy Forest yang menjadi antara lokasi pilihan.

Bagi mereka yang menonton, pasti terkesima dengan keindahan yang ada pada salah sebuah lokasi tumpuan pelancong di negara ini.

Apa yang pasti, filem ini menjanjikan sinematografi yang cukup cantik!

Jadi, jangan lupa saksikan filem ini yang akan menemui anda pada 16 Januari ini! Jom kita ramai-ramai ke panggung wayang.