Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"5 Sebab Duit KWSP Cepat Habis" - Pakar

Awani
05/06/2024 07:53 MYT
Menyelesaikan hutang pinjaman dan membiayai kos perubatan merupakan antara faktor duit simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sepatutnya digunakan untuk membiayai kehidupan selepas bersara habis dalam tempoh singkat.

Faktor duit KWSP dihabiskan

Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, faktor lain ialah ubah suai rumah, menjadi ‘bank tanpa faedah’ untuk anak-anak dan membuat pelaburan yang tidak sah atau tidak bermanfaat.

“Kebanyakan masyarakat kita tidak mempunyai perlindungan takaful. Jadi apabila sudah mencapai usia persaraan, banyak wang digunakan untuk tujuan perubatan dan ini tidak boleh elak.

“Selain itu, kebanyakan mereka menggunakan wang KWSP untuk menyelesaikan pelbagai hutang seperti rumah, kenderaan dan pinjaman peribadi.

“Namun, ada juga membelanjakan kepada perkara tidak penting seperti buat ubah suai rumah dan menjadi bank kepada anak-anak hingga sanggup menanggung sepenuhnya kenduri kahwin mereka.

“Akhirnya, duit yang sepatutnya digunakan untuk menjalani kehidupan lebih baik dan selesa dalam tempoh persaraan menjadi sebaliknya,” katanya.

Mohamad Fazli berkata, risiko pekerja jatuh miskin pada usia tua akibat ketiadaan tabungan kewangan mencukupi telah lama diperkatakan.

Ujarnya, keadaan ini berlaku disebabkan kebanyakan rakyat masih kurang memahami keperluan menabung untuk masa depan, selain lemah dalam pengurusan kewangan mereka.

“Keadaan ini turut mendorong sesetengah mereka terlibat dengan skim pelaburan tidak sah. Bukan sahaja tidak dapat untung, malah ada yang rugi,” katanya.

KE MANA DUIT PERSARAAN DIHABISKAN:

1. Ubah suai rumah

2. Belanja kenduri kahwin anak

3. Bayar hutang

4. Biayai kos perubatan

5. Terlibat pelaburan tidak sah

Sumber: AWANI

#KWSP #Pakar #Sebab Duit KWSP Cepat Habis
;