Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

50 Peratus Penurunan Penonton Ke Pawagam Kerana Covid-19, Filem Escape Ditunda Tayangan!

Amri Hassan
11/03/2020 12:01 MYT
Filem Escape yang dijadual tarikh tayangan pada 26 Mac depan ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Perkara itu dimaklumkan pengarah filem itu, Ikhwansha Hazer selepas pihak produksi Dreamland Productions Sdn Bhd dan DMY Creation mendapati situasi penularan virus Covid-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia telah memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhan.

"Setelah diteliti, dikaji dan mendengar pandangan dan nasihat daripada beberapa pihak, maka pihak produksi mengambil keputusan untuk menundakan tarikh tayangan filem Escape ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

"Pihak kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang banyak menyokong dan membantu untuk mempromosikan filem Escape ini," katanya.



Ikhwansha turut mendedahkan, berdasarkan laporan yang diterima daripada beberapa pihak pemamer tempatan, mendapati berlaku penurunan ketara hampir 50 peratus jumlah penonton ke pawagam tempatan sejak virus Covid-19 mulai tular pada awal tahun ini.

"Situasi ini sekali gus memberi kesan kepada sambutan terhadap filem tempatan dan antarabangsa.

"Pihak produksi berharap penularan virus Covid-19 yang sedang mengancam Malaysia ketika ini akan segera beransur pulih," katanya.

Filem Escape adalah filem bergenre 'Cerebral Thriller' yang menampilkan barisan pelakon popular tempatan antaranya Kamal Adli, Elizabeth Tan, Amar Asyraf, Jue Aziz, Riz Amin, Zamarul Hisham, Pablo Amirul, Fiza Fukazawa dan Dato' Jalaluddin Hassan.
#Filem #Filem #COVID-19 #Escape
;