Berita

500,000 Baucar Ditebus! Mahasiswa IPT Sambut Baik Program Baucar Buku MADANI Fasa 2

gempak
Amri Hassan
30/12/2024
18:31 MYT
Sponsor Banner
500,000 Baucar Ditebus! Mahasiswa IPT Sambut Baik Program Baucar Buku MADANI Fasa 2
Program Baucar Buku MADANI Fasa 2, yang menawarkan bantuan bernilai RM100 kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), telah mendapat sambutan luar biasa daripada mahasiswa di seluruh negara.
Dilancarkan pada 29 Oktober 2024 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Zambry Abdul Kadir, inisiatif ini bertujuan memudahkan pelajar mendapatkan bahan bacaan berkualiti untuk menyokong keperluan akademik mereka.
Program ini dijalankan melalui platform digital rasmi MySiswaPlace, selari dengan visi YB Menteri untuk menyediakan pusat sehenti bagi mempermudah akses pelajar kepada perkhidmatan pendidikan.
Sambutan luar biasa yang diterima, termasuk peningkatan trafik platform sejak pelancaran, jelas menunjukkan penerimaan tinggi mahasiswa terhadap usaha ini.
Sehingga kini, hampir 500,000 baucar telah ditebus, dengan pecahan berikut:
60% pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) 29% pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) 10% pelajar di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK)
Data ini bukan sahaja menggambarkan tahap kesedaran mahasiswa terhadap manfaat program ini, tetapi juga menunjukkan komitmen mereka untuk memanfaatkan peluang yang tersedia dalam meningkatkan kualiti pendidikan.

Sokongan industri

Kejayaan program ini turut disokong oleh kerjasama lebih daripada 300 penerbit, pengedar, dan penjual buku di seluruh negara. Melalui MySiswaPlace, sebanyak 900,000 naskhah buku fizikal dan langganan e-buku telah berjaya dijual. Koleksi yang ditawarkan meliputi pelbagai kategori, seperti buku akademik, bahan rujukan profesional, dan novel, sesuai dengan keperluan pelajar IPT.
Inisiatif ini juga memberikan impak positif kepada industri penerbitan tempatan, membantu memperkukuh ekosistem pendidikan dan budaya membaca dalam kalangan mahasiswa. Permintaan tinggi dijangka terus meningkat menjelang tarikh akhir program, iaitu pada 31 Disember 2024.

Peluang mahasiswa

Mahasiswa IPT masih berpeluang menebus Baucar Buku MADANI Fasa 2 melalui portal MySiswaPlace di mysiswaplace.my sebelum tarikh akhir.
Pelajar digalakkan untuk memanfaatkan peluang ini bagi mendapatkan bahan bacaan yang diperlukan, sekaligus menyokong usaha meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti.
Program Baucar Buku MADANI Fasa 2 bukan sahaja memperkasa mahasiswa, tetapi juga menyokong pembangunan industri pendidikan tempatan serta memperkukuh budaya membaca di negara ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024