Impian pelakon terkenal Jackie Chan, untuk memiliki trofi Oscar tercapai selepas 56 tahun berada dalam industri perfileman.

Menurut Jackie, keinginannya untuk memiliki anugerah tersebut timbul selepas melihat satu trofi Oscar di rumah aktor Sylvester Stallone kira-kira 23 tahun yang lalu.

"Selepas 56 tahun dalam industri, terlibat dengan lebih 200 filem dan menyimpan begitu banyak harapan, akhirnya impian saya tercapai,” katanya ketika memberikan ucapan sambil tersenyum memegang trofi tersebut.

Selain itu, pelakon berusia 62 tahun itu juga turut mengimbau kembali kenangan ketika menyaksikan majlis itu bersama keluarganya di mana bapanya pernah bertanya mengapa anaknya tidak memiliki anugerah berprestij itu walaupun sudah terbabit dengan banyak filem.

Jackie juga menyatakan rasa bangga terhadap negaranya, Hong Kong dan berbangga menjadi seorang warga Cina.

Dia juga turut berterima kasih kepada peminat dan menyifatkan mereka adalah pembakar semangat dan penyebab utama bagi dirinya untuk terus menghasilkan filem berkualiti.

Jackie telah menerima anugerah emas tersebut dalam majlis Anugerah Governors atas penglibatan dan sumbangannya dalam dunia perfileman setelah hampir lima dekad.

Majlis tersebut berlangsung pada Sabtu bertempat di Ray Dolby Ballroom, California.

Antara selebriti yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Nicole Kidman, Emma Stone, Ryan Reynolds, Amy Adams and Dev Patel.

Olahan: Mya Amri

Sumber: Reuters