Satu dunia meraikan ulangtahun ke-80 watak adiwira Batman awal November lalu dengan cara tersendiri.

Bagi beberapa lokasi, ulangtahun karakter DC Comics itu disambut dengan cara larian amal dan fun run.

Sama seperti Malaysia, Batman 80th Anniversary Night Run 2019 berlangsung penuh meriah di sekitar Bandar Sunway, Petaling Jaya baru-baru ini.

Melibatkan penyertaan lebih 6,000 pelari, dataran Sunway Lagoon dibanjiri peminat adiwira itu seawal pukul 4 petang lagi.

Berbaju ultron hitam dengan cetakan logo Batman di dada yang berkilau dalam gelap, ada antara peserta larian yang mengambil inisiatif berbeza dengan menyarung kostum Batman sendiri.

Malah, lebih mengujakan ada juga yang memakai kostum adiwira popular lain antaranya Robin, Catwoman dan Joker.

Larian dimulakan seawal 8 malam dengan ribuan peserta dilepaskan peringkat demi peringkat demi faktor keselamatan.

Dapat dilihat sekitar Bandar Sunway pada malam itu dibajiri oleh lebih 6,000 pelari yang bertopeng Batman.

Bagaimanapun, tidak semua acara berlangsung sempurna apabila pelari mulai bersesak-sesak dalam keadaan panas untuk mendapatkan medal masing-masing di hujung garis penamat.

Namun, urusetia telah tampil membuat permohonan maaf atas situasi tidak diingini.

"Kami sedar keseluruhan acara tidak berjalan lancar dan kami berdukacita atas situasi yang berlaku.

"Kami memohon maaf atas semua peminat Batman yang kecewa dengan Batman 80th Anniversary Night Run.

"Ia sepatutnya menjadi acara yang menghiburkan. Oleh itu, kami akan mengambil inisiatif agar masalah sama tidak berulang lagi pada masa akan datang," maklum urusetia menerusi Facebook rasmi Batman Night Run Malaysia.


Apa kata jom layan gambar-gambar menarik sepanjang acara berlangsung!