Pelakon Nadia Brian, 30, berkongsi berita duka apabila enam orang ahli keluarganya didapati positif COVID-19.

Ketika dihubungi Gempak, Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi menangis teresak-esak tidak dapat menahan kesedihan.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana.. sedih sangat. Ibu, nenek, abang ipar, anak buah dan ibu saudara disahkan positif COVID-19 pada Jumaat. Manakala adik saya, positif sebelum itu lagi.

"Nenek saya yang berusia 75 tahun sekejap lagi (Ahad) pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang ambil untuk dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

"Ahli keluarga yang lain sudah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), semalam," katanya.

Tambah Nad, keputusan ujian calitan (swab test) dirinya menunjukkan negatif namun terpaksa dilakukan sekali lagi untuk kepastian pada 10 Mei ini.

"Keputusan saya negatif. 10 Mei ini saya kena buat swab test sekali lagi untuk kepastian. Setakat sekarang, saya sihat.. tak ada simptom," katanya lagi.

Dalam pada itu, pelakon filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda ini memohon doa daripada orang ramai untuk mendoakan kesembuhan keluarganya.

"Saya mohon kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan kesembuhan ahli keluarga saya. Ya Allah.. berat sungguh ujian yang diberikan kepada saya.

"Saya juga mendoakan agar semua pesakit COVID-19 diberikan kekuatan dan ketabahan. Insya-Allah kita sama-sama dapat harungi pandemik ini," kata Nadia.

Terdahulu, Nadia dan keluarga melakukan swab test pada 5 Mei lalu selepas adiknya demam dan disahkan positif COVID-19.