Laman Utama
6 Bulan Dian Sastrowardoyo Berkurung, Dengar Lagu Gamelan Demi 'Gadis Kretek'! - "Saya Berhenti Jumpa ..."
Demi menjayakan watak seorang wanita berjiwa patriotik pada era industri tembakau di Indonesia pada 1960-an dalam drama bersiri Gadis Kretek, pelakon Dian Sastrowardoyo sanggup mengurungkan diri di rumah.
Menurut Dian, dia mengetepikan kehidupan sosial termasuk berhenti melakukan aktiviti yang digemari sepanjang enam bulan bagi menghayati watak sebagai Dasiyah dalam siri terbitan Netflix itu.
"Saya berhenti berjumpa teman dan tidak bersosial. Saya tidak lakukan aktiviti olahraga, berlari atau bermain tenis yang sangat digemari. Semuanya kerana saya mahu latih badan bergerak mengikut kehidupan wanita pada zaman itu.
“Saya juga berhenti mendengar muzik moden. Saya hanya dengar gamelan dan irama klasik selama beberapa bulan untuk fokus dengan watak Dasiyah. Saya banyak berlatih sendirian di rumah dan berdisiplin.
“Saya tidak buka TV dan tidak pegang telefon bimbit ketika berlatih," katanya pada sidang media virtual mempromosikan drama bersiri Gadis Kretek, baru-baru ini.
Bukan mudah menjiwai karakter yang sangat berbeza dengan dirinya, Dian memberitahu ia memerlukan banyak kesabaran dan persiapan yang perlu dilakukan.
"Saya dapat banyak arahan daripada sutradara yang merancang karakter Dasiyah dengan teliti. Karakternya sangat jauh daripada diri saya hingga merasa sangat tercabar.
"Namun, saya cuba tengok bagaimana boleh teroka karakter ini, biarpun bicara, gerak tubuh dan ekspresi Dasiyah sangat berbeza.
"Saya pernah bawa watak patriotik tetapi kali ini karakter dilakonkan sangat berbeza dengan diri saya," katanya yang mendapat bimbingan daripada pengarah merangkap jurulatih lakonan, Kamila Andini.
Disebabkan watak Dasiyah yang tidak banyak berinteraksi dengan ramai orang, Dian mengaku tertekan menjiwainya.
"Pada mulanya, saya sangat tertekan. Saya belajar bahawa seorang pelakon perlu pasrah, berserah dan ikhlas kerana tugasnya adalah menyerahkan diri kepada karakter. Kalau watak perlukan dia lakukan semua itu, kita harus jalani dengan baik," katanya.
Drama bersiri Gadis Kretek arahan Kamila dan Ifa Isfansyah diadaptasikan daripada novel tulisan Ratih Kumala terbitan 2012 oleh Gramedia Pustaka Utama dan mula ditayangkan di Netflix pada 2 November.
Must-Watch Video