Bilangan pengikut laman sosial Instagram penyanyi dan pelakon Ayda Jebat bertambah seramai 10,000 orang dengan majoritinya peminat dari Indonesia.

Semuanya terjadi selepas Ayda berada di Jakarta dan Bandung selama enam hari untuk siri promosi lagu Pencuri Hati.

“Alhamdulillah, saya gembira dengan perkembangan positif tersebut. Walaupun mungkin ada yang beranggapan nilai pertambahan itu sedikit, tetapi saya rasakan itu sebagai satu perkara baik untuk saya menembusi pasaran Indonesia.

“Bukan mudah untuk penyanyi Malaysia diterima di sana. Setakat ini, mereka sangat mengalu-alukan kehadiran saya. Saya bersyukur kerana lagu Pencuri Hati mendapat reaksi positif pendengar di sana,” kata Ayda kepada Astro Gempak.

Penyanyi lagu Nakal Nakal Nakal itu turut bersyukur apabila single Pencuri Hati telah dipilih menjadi untuk lagu runut bunyi bagi tiga sinetron di sana yang berjudul Rebutan Cinta Skretaris Metal, Let's Go Kita Married dan Tanjidor Love Story.

“Pemilihan lagu saya sebagai lagu tema sinetron akan memudahkan lagi lagu saya untuk mesra dengan telinga pendengar di sana. Saya sangat bersyukur atas perkembangan positif ini.

“Saya tidak akan berhenti berterima kasih kepada semua pihak yang membantu perjalanan karier saya, terutamanya kepada peminat dan pihak media.

“Peminat sudah saya umpamakan sebagai tulang belakang saya dalam meniti perjalanan berliku sebagai penyanyi dan pelakon. Tanpa sokongan mereka, saya tidak akan berada di tahap sebegini,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal