Sebuah helikopter yang dilaporkan terhempas di dalam hutan sempadan Perak-Pahang berhampiran De Garden Enterprise, Cameron Highlands tengah hari tadi, sudah ditemui dengan semua mangsa dilaporkan selamat.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui semua mangsa terbabit kira-kira jam 4 petang.

Menurut Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.06 petang.

Mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan.

Tiga daripada mereka mengalami cedera parah manakala yang lain cedera ringan, katanya.

Ketika kejadian, cuaca dilaporkan hujan sekali gus menjadikan operasi menyelamat mencabar.

Terdahulu, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari membabitkan helikopter syarikat swasta.

Difahamkan, helikopter yang membawa pasukan perubatan termasuk doktor itu, dalam perjalanan pulang ke Ipoh dari Lojing, Cameron Highlands.

Sumber: Awani