DRAMA
6 Siri Spy Wanita Yang Buat Hati Tak Tenang, Honey Trap Wajib Masuk ‘Watchlist’
Genre perisik atau espionage sering digambarkan sebagai dunia lelaki yang penuh dengan aksi, misi sulit, dan dominasi maskulin.
Namun, kebelakangan ini kita menyaksikan kebangkitan perisik wanita yang menampilkan kekuatan, kecerdasan, serta kerumitan emosi yang memukau.
Berikut adalah senarai siri perisik wanita yang mencuri perhatian dari seluruh dunia:"
1. Alias (Amerika Syarikat, 2001-2006)
Alias ialah gabungan sempurna antara aksi perisik klasik, drama emosi, konspirasi global dan sedikit mistik. Ia menampilkan protagonis wanita kuat yang berjuang bukan saja di medan operasi, tetapi juga dalam dilema peribadi, menjadikan ia sebuah siri penuh keseimbangan antara inteligensia dan humanisme.
Siri ini sangat sesuai ditonton semula hari ini terutamanya buat peminat Killing Eve, Honey Trap, Nikita atau mana-mana peminat genre spy thriller yang menghargai kecekapan perisik wanita dengan emosi dan kelas.
Pelakon: Jennifer Garner, Victor Garber, Michael Vartan dan Ron Rifkin
2. Killing Eve (United Kingdom, 2018–2022)
Siri ini mengisahkan Eve Polastri, seorang pegawai perisik MI5 yang obses memburu pembunuh upahan wanita yang dikenali sebagai Villanelle.
Ketika misi pemburuan ini menjadi semakin peribadi dan kompleks, hubungan mereka berubah daripada kebencian kepada daya tarikan yang misteri dan saling takrif.
Pelakon: Sandra Oh, Jodie Comer, Fiona Shaw dan Owen Mcdonnel.
3. Vagabond (Korea Selatan, 2019)
Vagabond mengisahkan Cha Dal-gun, seorang pelagak ngeri yang kehilangan anak saudaranya dalam tragedi pesawat terhempas yang disyaki berpunca dari kerosakan teknikal.
Namun, ketika menyiasat sendiri, dia menemui bukti wujudnya konspirasi besar yang mengaitkan syarikat penerbangan, kerajaan, agensi risikan dan kumpulan senjata antarabangsa.
Dalam usahanya mencari kebenaran, dia bekerjasama dengan Go Hae-ri, seorang ejen NIS (National Intelligence Service) yang menyamar sebagai diplomat. Bersama-sama mereka menentang sistem yang korup dan mempertaruhkan nyawa untuk mendedahkan kebenaran.
Pelakon: Lee Seung-gi, Bae Suzy dan Shin Sung-rok.
4. Wife Of Spy (Jepun, 2020)
Berlatar pada era awal Perang Dunia Kedua di Kobe, Jepun (1940), filem ini mengisahkan kehidupan Satoko, seorang wanita sosialit yang kelihatan hidup tenang bersama suaminya, Yusaku, seorang ahli perniagaan eksport-import.
Namun, selepas suaminya pulang dari lawatan perniagaan ke Manchuria dan menyembunyikan sesuatu yang dilihatnya di sana, Satoko mula curiga. Yusaku sebenarnya telah menyaksikan kekejaman tentera Jepun terhadap tahanan China dan merancang untuk mendedahkan kebenaran tersebut kepada dunia sesuatu yang dianggap sebagai pengkhianatan oleh kerajaan Jepun.
Apabila Satoko mengetahui hal sebenar, dia berada di persimpangan dilema: setia kepada negara atau setia kepada suami. Dia akhirnya memilih untuk membantu suaminya, walaupun tahu risikonya sangat besar.
Pelakon: Yu Aoi, Issey Takahashi, Masahiro Higashide
5. B.A.R.I.S.T.A: Misi Terpaling Sulit (Malaysia, 2023)
Badan Anti Radical Insurgent Teroris Andorsia atau dikenali sebagai B.A.R.I.S.T.A ialah sebuah agensi perisikan Andorsia, sebuah negara Komanwel fiksyen yang sering terlibat dengan misi-misi perisikan, anti-pengganas dan penyiasatan antarabangsa.
Ketika menjalani sebuah misi untuk menghapuskan KURAP (Kumpulan Radikal Pemisah Andorsia Selatan) yang ingin mengancam Andorsia, Ejen K telah diculik oleh sekumpulan pengganas yang ingin mengecam agensi perisikan mereka.
Untuk menyelamatkan Ejen K, Ejen M yang dikenali sebagai legend spy dan Ejen Gee, seorang penganalisis IT yang nerd dipilih untuk menyelesaikan penyiasatan sulit ini. Namun dalam menyelesaikan misi ini, mereka menemui konspirasi lain yang lebih mengejutkan. Ejen K dituduh sengaja ditangkap kerana mahu belot pada agensi mereka.
Pelakon: Sherry Alhadad, Nadia Brian, Kamal Adli, Mekyun, Fauzi Nawawi.
6. Honey Trap (Malaysia, 2025)
Honey Trap mengisahkan Surya, seorang perisik MSB yang dalam diam bergelut dengan skizofrenianya namun bertekad menjatuhkan CAKRA kumpulan pemberontak yang diketuai Aziz, pembunuh ayahnya.
Apabila dia merekrut Shidi, salah seorang tahanan MSB yang ada kaitan dengan musuh, hubungan tak terduga mula terjalin antara mereka, mengaburkan batas antara tugas dan perasaan Surya.
Di saat ancaman meningkat dan kewarasannya tergugat, Surya berjuang demi negara dan demi hatinya yang semakin rapuh.
Pelakon: Nina KSC, Syarul Ezani, Ungku Ismail dan Irfan Zaini
Dunia perisik wanita kini bukan sekadar bayang-bayang watak lelaki, mereka juga mampu menjadi pemegang rahsia, penjaga kebenaran, dan pejuang senyap dalam dunia yang sering meminggirkan emosi serta kemanusiaan.
Jangan lupa untuk saksikan Honey Trap Kini di OnDemand, Astro GO bermula jam 12 tengah malam, manakala jam 9 malam di Astro Citra (saluran 108), serta hari Isnin jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), serta sooka.
Must-Watch Video