Laman Utama
6 Tahun Dipenjara Kerana Dadah, Ameng: "Anak Pun Tak Kenal Saya"
Penyanyi Ameng Spring mengakui rasa hidupnya seperti sudah berakhir saat dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas kesalah penyalahgunaan dadah pada tahun 2011.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminnudin Wan Ismail, 52, mendedahkan hidupnya musnah dan porak peranda kerana dadah.
“Kehidupan saya porak peranda sebelum masuk penjara, rumah tangga bercerai-berai… saya banyak kecewakan hati ibu bapa saya dan sebagainya.
“Bila sahaja saya dipenjarakan, saya rasa seperti hidup tak berguna lagi. Malah ketika itu saya dah tak peduli pasal diri saya, saya tak pedulikan persekitaran, yang saya risaukan macam mana nak menghadapi hidup didalam penjara dengan satu jangka masa yang lama.
“Tetapi apabila diberikan dengan program-program keagamaan kerohanian jadi memberikan satu semangat dan kesedaran untuk saya berubah,” katanya.
Ameng mendedahkan kisah hidupnya itu bersama radio Zayan dalam segmen Kisah Inspirasi.
Kongsi Ameng lagi perkara yang paling pahit adalah melihat keluarga terpaksa melalui bersama atas kesilapannya.
“Ketika saya ditahan, isteri saya juga ditahan reman selama 3 bulan. Anak saya ketika itu kecil lagi dan tidak sanggup berpisah sehingga dia memeluk kuat peha saya kerana tidak sanggup berpisah.
“Hati saya berat dan sedih ketika itu, tetapi tiada gunanya kerana nasi sudah jadi bubur.
“Malah paling saya sedih bila saya keluar penjara, anak sudah tidak mengenali saya dan takut hendak mendekati kerana fikir saya adalah orang asing,” ceritanya lagi.
Ameng dihukum penjara dan 10 sebatan pada tahun 2011 dan dibebaskan pada tahun 2016.
Banyak lagi kisah yang boleh dijadikan teladan, ikuti video penuh Kisah Inspirasi Ameng Spring yang dikongsikan Zayan dalam satu muat naik di akaun Instagram mereka.
Must-Watch Video