Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana, 37, mengakui dirinya antara yang terkesan sejak penularan wabak Covid-19, Mac tahun lalu.

Menurut Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berkata dia menganggarkan pendapatannya sebagai anak seni terjejas sebanyak 60 peratus.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana duit tabungan masih mencukupi untuk meneruskan kelangsungan hidup terutama ketika pelaksanaan 'lockdown'.

"Jumlah ini sekadar anggaran saya kerana kita pun sudah dua kali menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekarang Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) pula.

"Apapun, saya tetap bersyukur kerana ada tabungan yang boleh digunakan dan ia sedikit sebanyak cukup membantu saya untuk meneruskan kelangsungan hidup pada ketika pandemik ini," katanya kepada Gempak.

Nana ditemui ketika pelancaran single terbaharu berjudul Cukup Derita Itu yang diadakan secara maya pada Khamis.

Dalam pada itu, pelantun lagu Angkara menyatakan dia perlu bekerja keras dan lebih kreatif dalam mencari rezeki bagi melunaskan segala komitmen bulanan.

"Selain itu, saya mengambil inisiatif untuk lebih kreatif mempelbagaikan kemahiran termasuk aktif menceburi perniagaan dalam talian dengan menjual tudung dan cakera padat (CD) di aplikasi Shopee.

"Saya ada juga terlibat dalam beberapa kempen yang memerlukan saya untuk menjadi duta," katanya lagi.